Hasil bumi Sabah bukan ‘tabung peribadi’ kamu, Albert Tei diberitahu

Hasil bumi Sabah bukan ‘tabung peribadi’ kamu, Albert Tei diberitahu

Pemimpin PGRS berkata cubaan Albert Tei kuasai hasil bumi Sabah digagalkan pentadbiran Hajiji Noor yang membatalkan banyak lesen perlombongan mineral miliknya.

albert tei
Albert Tei didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 bagi mempengaruhi permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ahli perniagaan kontroversi Albert Tei didakwa mahu menjadikan hasil bumi Sabah sebagai ‘tabung simpanan peribadi’, dengan menyalurkan dana politik untuk mencapai cita-citanya itu.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Nizam Abu Bakar Titingan, berkata beberapa video dikongsi Tei jelas menunjukkan beliau bercakap secara terbuka mengenai ‘sumbangan politik’ dan menyalurkan wang kepada tokoh tertentu di Sabah.

Katanya, tindakan tersebut menggambarkan niat sebenar Tei yang mahu mempergunakan hasil bumi negeri demi keuntungan sendiri, namun cubaan itu digagalkan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor yang bertindak tegas membatalkan lesen perlombongan miliknya.

“Adakah wajar orang luar menganggap hasil bumi Sabah sebagai ‘piggy bank’ dia? Sedangkan ini milik rakyat Sabah.

Nizam Abu Bakar Titingan
Nizam Abu Bakar Titingan.

“Jadi fikir-fikirkanlah siapa sebenarnya Albert Tei ini? Beliau berniat jahat dan hanya ingin merosakkan kesejahteraan Sabah,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, Malaysiakini dalam laporannya mendedahkan tangkap layar perbualan WhatsApp didakwa antara Tei dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, yang didakwa menerima RM1.78 juta daripada ahli perniagaan itu.

Perbualan tersebut menunjukkan Tei merayu kepada Kitingan yang ketika itu timbalan ketua menteri supaya memberitahu Hajiji tidak mengganggu operasi perlombongan pasir silika syarikatnya kerana projek berkenaan ‘piggy bank’ (tabung simpanan) mereka.

Dalam mesej sama, Tei mengeluh tidak lagi mampu menanggung ‘sumbangan politik’ selepas kerajaan negeri membatalkan beberapa projek didakwa miliknya.

Sementara itu, dalam rakaman video disebarkan 18 Okt lalu pula, Tei mengaku memberi ‘sejumlah kecil’ RM550,000 kepada Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr Joachim Gunsalam.

Joachim yang juga penyandang DUN Kundasang mengesahkan kepada Malaysiakini ia adalah sumbangan politik.

Dalam satu lagi video berdurasi seminit, Tei turut memberitahu Timbalan Presiden PBS, Jahid Jahim, yang beliau pernah berjanji memberi sumbangan kepada bekas wakil rakyat Tamparuli itu.

Putar belit Tei

Nizam berkata, tindakan Tei menyebarkan video dan perbualan itu didakwa sebagai usaha terancang mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan Sabah selepas skandal perlombongannya terbongkar.

“Dia cuba putar balik naratif kononnya kerajaan menindasnya, sedangkan dia sendiri penyebab utama salah guna sistem lesen perlombongan,” katanya.

Katanya, individu yang dirakam bersama Tei sebenarnya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan lesen mineral, sekali gus menolak dakwaan wujud salah guna kuasa oleh kerajaan negeri.

“Jelas tindakan Tei bukan untuk menegakkan kebenaran, tapi untuk membalas dendam dan mengalih perhatian daripada salah laku sendiri,” katanya.

Bukan pemberi maklumat tapi dalang

Beliau turut menegaskan, Tei bukan pemberi maklumat (whistleblower) seperti cuba digambarkannya, sebaliknya dalang utama dalam skandal perlombongan itu.

“SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) sendiri tidak mengiktirafnya sebagai pemberi maklumat.

“Undang-undang tidak melindungi mereka yang memberi rasuah. Dia bukan mangsa – dialah pelaku utama,” katanya, membidas Tei kerana memainkannya sebagai isu politik dan menyebarkan persepsi konon beliau mangsa ketidakadilan.

“Dia mahu rakyat percaya dia pejuang ketelusan, tapi hakikatnya dia mahu jadikan kekayaan Sabah sebagai tabung peribadi untuk cita-cita sendiri,” katanya.

Tei didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas Adun – Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Dr Yusof Yacob (Sindumin) – bagi mempengaruhi permohonan lesen mencari gali mineral di Sabah.

Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kerajaan negeri sebelum ini menyerahkan kepada SPRM menjalankan siasatan secara bebas dan menyeluruh berhubung skandal perlombongan mineral.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan Hajiji bebas daripada sebarang salah laku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.