2 lelaki lemas ketika bercuti di Pantai Chenang

2 lelaki lemas ketika bercuti di Pantai Chenang

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Selangor itu dikenali sebagai R Nurenthiran dan M Suresh.

Siasatan awal mendapati mangsa datang ke pulau itu untuk bercuti bersama keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, kata polis. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Percutian dua lelaki berakhir tragedi apabila kedua-duanya ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti pantai di Pantai Chenang, Langkawi, kira-kira 5.50 petang semalam.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Selangor itu dikenali sebagai R Nurenthiran, 38, dan M Suresh, 46.

Timbalan Ketua Polis Langkawi, Samsulmuddin Sulaiman, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.05 petang.

“Kedua-dua mangsa diselamatkan oleh orang awam menggunakan jet ski dan dibawa ke pantai sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini, untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pemeriksaan oleh pegawai perubatan di wad kecemasan mendapati kedua-duanya sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa datang ke pulau itu untuk bercuti bersama keluarga dan dipercayai mandi di kawasan pantai awam sebelum insiden berkenaan.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HSM untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.