
Bekas setiausaha agung FAM Azzuddin Ahmad berkata, tidak wajar untuk menggantung seseorang ‘berasaskan siasatan’.
“Tugas harian sekretariat perlu berjalan dengan lancar,” katanya dalam program Nadi Arena hari ini, lapor Astro Arena.
Noor Azman digantung tugas pada 17 Okt lepas susulan kontroversi dokumen palsu didakwa dikemukakan kepada Fifa bagi membolehkan tujuh pemain warisan mewakili skuad kebangsaan.
Menurut Timbalan Presiden FAM S Sivasundaram, sebuah jawatankuasa telah dibentuk sementara menunggu keputusan rayuan kepada Fifa.
Penggantungan Noor Azman yang berkuat kuasa serta-merta adalah bagi memberi laluan kepada jawatankuasa itu menjalankan siasatannya, tambahnya.
Fifa dijangka mengumumkan keputusannya pada 30 Okt.
Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, keputusan muktamad masih tertakluk kepada Fifa, biarpun FAM sebelum ini mempertahankan diri dengan alasan berlaku ‘kesilapan teknikal’ dalam dokumen untuk menurunkan pemain dalam pusingan kelayakan Piala Asia.
“Anda bersalaman dengan Presiden Fifa (Gianni Infantino), tetapi peraturan tetap peraturan,” katanya merujuk kunjungan Infantino ke Kuala Lumpur minggu depan sempena Sidang Kemuncak Asean.
“Perlu bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan. Sama ada digantung ataupun didenda dengan lebih tinggi.
“Kerana, tiada sebab anda nak lawan Fifa. Saya jamin, mereka sudah ada setiap butiran dalam ‘poket’.”
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Fifa mengumumkan FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland (RM1.9 juta), manakala tujuh pemain terbabit masing-masing didenda 2,000 franc Switzerland (RM11,000) beserta penggantungan 12 bulan.