
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sidang kali ini bukan sahaja menghimpunkan negara anggota Asean dan rakan dialog tradisional dari Asia seperti China, Jepun, Korea, India, Australia serta New Zealand tetapi turut disertai pemimpin rantau lain termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, Brazil dan Afrika Selatan.
“Ini menunjukkan strategi baharu Malaysia dan Asean dalam membuka jaringan persahabatan serta perdagangan dengan rantau lain termasuk benua Afrika dan Amerika Latin terutama dengan kehadiran Presiden Cyril Ramaphosa (dari) Afrika Selatan dan (Presiden) Luiz Inacio Lula da Silva (dari) Brazil.
“Kehadiran Presiden (AS) Donald Trump juga mengundang perhatian kerana isu tarif akan cuba dirungkai,” katanya dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa malam ini.
Beliau berkata, perdana menteri Thailand yang baharu dilantik, Anutin Charnvirakul, turut dijadual menghadiri sidang kemuncak kali ini, kunjungan pertama beliau ke Malaysia dan lawatan rasmi luar negara kedua sejak memegang jawatan pada 7 Sept lepas.
Selain itu, kata Anwar, sidang kemuncak itu dijangka disertai wakil-wakil Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa serta Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino.
Anwar berkata, selain beberapa ketetapan yang memerlukan input daripada rakan Asean, Malaysia akan membawa isu berkaitan kepusatan, perdagangan bebas dan keamanan dunia.
Katanya, Malaysia kini menjadi tumpuan antarabangsa sepanjang tahun Kepengerusian Asean, yang menyaksikan ratusan sidang dan ribuan mesyuarat peringkat pegawai diadakan, menjadikan 2025 antara tahun paling aktif dalam sejarah Asean.
“Saya banyak bergantung kepada Menteri Luar (Mohamad Hasan) dan Kementerian Luar yang telah banyak menakhodai isu ini dan menyelenggarakan program serta perbincangan awal dengan rakan sejawat.
“Ini bagi saya satu kebanggaan kepada negara… merentas aspek diplomasi, geopolitik, perdagangan, pelaburan, kerjasama ekonomi, keselamatan, digital, kecerdasan buatan, komunikasi, penerangan dan tenaga.
“Semua dirungkai dalam mesyuarat sebelum dirumuskan strategi utama yang dibincang dan disahkan di peringkat ketua negara,” katanya.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan akan berhimpun untuk membincangkan keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.