Meski KDM nafi, Kitingan dakwa sudah berjumpa bincang GBS

Meski KDM nafi, Kitingan dakwa sudah berjumpa bincang GBS

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata ego politik sering jadi penghalang usaha penyatuan parti-parti tempatan Sabah menjelang PRN17.

Jeffrey Kitingan dakwa ada pertemuan dengan pemimpin Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi bincang kerjasama PRN namun dinafikan Wetrom Bahanda.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan sekali lagi mendakwa beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi membincangkan pembentukan Gerakan Bersatu Sabah (GBS) — meskipun dinafikan oleh parti itu.

Kitingan berkata pertemuan itu menumpukan kepada keperluan menyatukan parti-parti tempatan demi masa depan Sabah, walaupun belum ada rundingan rasmi setakat ini.

“Kalau mereka (KDM) menafikan, itu terpulang kepada mereka. Tetapi kami sudah berjumpa dan berbincang tentang keperluannya (GBS),” katanya oleh Astro Awani.

Beliau mengakui, usaha penyatuan politik di Sabah sering terbantut kerana sikap ego dan keinginan setiap pihak untuk menjadi ‘hero’.

“Inilah masalah di Sabah selama ini. Masing-masing mahu jadi jaguh. Kali ini kita perlu bersatu dan ketepikan perbezaan demi perubahan dan kemenangan bersama,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden KDM, Wetrom Bahanda menegaskan partinya tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak berhubung pembentukan GBS, sambil menegaskan KDM akan terus bergerak solo pada PRN akan datang.

Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal yang Kitingan sedang menerajui pembentukan GBS selepas STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut laporan sama, Kitingan mendakwa sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti tempatan, termasuk KDM, yang dikatakan menunjukkan minat menyertai blok baharu itu — dijangka dilancarkan beberapa hari sebelum penamaan calon PRN Sabah.

Namun, Kitingan mendakwa KDM masih ‘ragu-ragu’ untuk menyertai gabungan itu kerana parti tersebut telah lebih awal mengumumkan hasrat bertanding di 38 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.