Kajian landasan kereta api Sabah-Sarawak dijangka siap Jun 2026

Kajian landasan kereta api Sabah-Sarawak dijangka siap Jun 2026

Pemangku Menteri Ekonomi Amir Hamzah Azizan berkata kebolehsambungan ke sempadan Nusantara akan diteliti bergantung kepada hasil kajian Kementerian Pengangkutan.

keretapi
Kerajaan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan landasan kereta api Sabah-Sarawak untuk meneliti keperluan serta kos pembinaannya. (Gambar KTMB)
PETALING JAYA:
Kajian kebolehlaksanaan projek landasan kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dijangka siap pada Jun 2026, kata Pemangku Menteri Ekonomi Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kajian Kementerian Pengangkutan bermula Jun lalu itu akan menilai keperluan, kos serta potensi sambungan ke sempadan Indonesia bagi menyokong hubungan ekonomi dan logistik antara Malaysia Timur dengan Ibu Kota Nusantara (IKN), Indonesia.

“Kebolehsambungan landasan kereta api itu ke sempadan akan diteliti sekiranya ada keperluan, tertakluk kepada hasil kajian kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Amir Hamzah menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH–Sibu) yang meminta penjelasan berhubung cadangan pembinaan lebuh raya atau landasan kereta api yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan IKN.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek pembangunan sempadan bagi Sabah dan Sarawak dengan jumlah kos keseluruhan RM3.03 bilion.

Jelasnya, sebanyak 46 projek sempadan sedang dilaksanakan di Sabah dengan kos RM1.67 bilion, termasuk pembinaan dan kerja awalan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong dan Bantul.

Pembinaan Jalan Baharu Kalabakan–Sempadan Malaysia-Indonesia (Simanggaris); serta projek Fibre Optic Border Monitoring System bagi meningkatkan kawalan digital.

Sementara itu, di Sarawak sebanyak 53 projek sempadan dilaksanakan dengan peruntukan RM1.36 bilion, antaranya pembinaan jalan dari sempadan Malaysia-Indonesia ke Bakelalan, Lawas; naik taraf pos kawalan keselamatan; serta projek penyediaan bekalan air, elektrik dan utiliti di pos sempadan terpencil.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan meneruskan komitmen pembangunan sempadan itu di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

IKN yang sedang dibangunkan di Kalimantan Timur dilihat membuka peluang strategik kepada Malaysia untuk memperkukuh jaringan perdagangan, pelaburan dan hubungan logistik rentas sempadan.

Ini kerana kedudukannya berdekatan dengan Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.