Anwar tolak dakwaan Putrajaya ‘sedut’ sumber Sabah tanpa sumbang semula

Anwar tolak dakwaan Putrajaya ‘sedut’ sumber Sabah tanpa sumbang semula

Perdana menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memenuhi komitmen di bawah MA63 dan meningkatkan pemberian dan peruntukan kepada Sabah selama ini.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah memenuhi komitmennya kepada Sabah dan sedang merangka mekanisme baharu untuk kiraan pemberian khas pada masa hadapan.
KUALA LUMPUR :
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan kerajaan Persekutuan telah ‘menyedut’ sumber daripada Sabah tanpa menyumbang kepada pembangunan negeri itu.

Dalam satu kenyataan khas di Parlimen hari ini, Anwar menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘taf­siran yang mengelirukan’ terhadap keputusan mahkamah pada 17 Okt berhubung hak 40% hasil Sabah.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa komitmen kerajaan terhadap pembangunan Sabah dapat dilihat melalui kemajuan yang dicapai di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Anwar berkata setakat ini sebanyak 13 perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan, termasuk pemindahan kuasa pengawalseliaan elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada kerajaan negeri, serta pengiktirafan Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, dan Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai ‘jabatan teknikal’ di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Mengenai pemberian khas kepada Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, Anwar berkata kerajaan telah menggandakan peruntukan tersebut untuk dua tahun berturut-turut, daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023 dan sekali lagi meningkat kepada RM600 juta tahun ini.

“Pembayaran keseluruhan pemberian khas RM600 juta telah pun disempurnakan pada 10 September lalu kepada kerajaan negeri Sabah,” kata Anwar sambil berkata kadar itu bersifat interim kerana kedua-dua kerajaan sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan.

Tambahan dana pembangunan untuk Sabah

Anwar berkata kerajaan Persekutuan juga terus meningkatkan perbelanjaan pembangunan untuk Sabah, dengan RM14 bilion disalurkan kepada negeri itu bagi 2023 dan 2024, berbanding RM13 bilion yang diperuntukkan pada 2022.

Beliau berkata peruntukan itu kini telah dinaikkan kepada RM17 bilion bagi tahun ini dan tahun depan, jauh melebihi jumlah kutipan hasil tahunan Sabah yang sekitar RM10 bilion, termasuk cukai jualan petroleum 5% serta cukai langsung dan tidak langsung yang lain.

“Ini bermakna kerajaan telah membelanjakan lebih daripada jumlah hasil keseluruhan pendapatan di Sabah,” tambahnya.

Anwar turut menyebut beberapa projek utama yang sedang dilaksanakan seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan projek air Sabah bernilai RM1 bilion yang dijadual siap tahun depan.

Beliau menambah bahawa sokongan Putrajaya terhadap perjanjian kerjasama komersial yang dimeterai dengan Sabah pada Disember 2021 telah mula membuahkan hasil, dengan kontraktor minyak dan gas tempatan memperoleh kontrak bernilai RM2 bilion setakat 2024.

“Komitmen ini akan diteruskan agar semua tanggungjawab kerajaan Persekutuan terhadap Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi, di samping menambah baik pemberian khas Sabah selaras dengan keperluan perkhidmatan kerajaan negeri serta kemampuan fiskal kerajaan Persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.