
Choong For Seng, 43, dan Ling Siew Lung, 46, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Di hadapan Syahliza, Choong didakwa menggunakan satu set GSM Module tanpa jenama, model dan nombor siri yang tidak diperakui di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di tepi jalan bersebelahan sebuah kedai makan di Mutiara Damansara pada 11.55 pagi, 19 Nov 2024.
Tuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 16(1)(b) dan Peraturan 16 (3) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Choong turut berdepan tuduhan pindaan kerana dengan sengaja menggunakan radas sama sehingga menyebabkan gangguan elektromagnetik besar, mengakibatkan perkhidmatan rangkaian Maxis Sdn Bhd di kawasan berkenaan terganggu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu di hadapan Noor Ruzilawati, Ling didakwa bersubahat dengan Choong bagi melakukan dua kesalahan sama di tempat, tarikh dan masa sama, mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.
Hakim Syahliza dan Noor Ruzilawati masing-masing membenarkan Choong dan Ling diikat jamin RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 4 Dis ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa SKMM Mohamad Farhan Kamarudin.
Kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Kee Wei Lon dan Jonas Ee Gen You.