
Khaled menegaskan setiap cadangan mesti disokong kajian mendalam serta pandangan daripada pakar-pakar berkaitan supaya ia tidak dilaksanakan tanpa asas kukuh.
Beliau menekankan keperluan menentukan modul dan objektif program dengan jelas supaya matlamatnya dapat dicapai.
“Apa-apa nak buat perlu kajian teliti — fikirkan apa modul dan kepastian mencapai matlamat (kenapa) ia diwujudkan.

“Ia juga perlu mendapat pandangan dan input dari pakar-pakar, bukan saja-saja mencadangkan sesuatu penyelesaian tanpa ada asas dan kajian mendalam,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas saranan seorang ahli akademik yang mencadangkan kerajaan menubuhkan PLKN ‘junior’ sebagai satu pendekatan menangani masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia Anuar Ahmad berkata kem selama tiga bulan itu untuk membantu pembentukan dan pembinaan semula karakter pelajar.
Pada masa ini, PLKN 3.0 yang dimulakan sejak 12 Jan lalu selepas tujuh tahun dimansuhkan, membabitkan pelatih lelaki dan wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Program itu dilaksana secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia.
Selain itu, membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal serta mental dalam menghadapi cabaran hidup.