
Namun Ketua Penerangan Pemuda PAS Khairul Nadzir Helmi Azhar menegaskan tumpuan utama ketika ini untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada FMT, Khairul berkata penyertaan mana-mana individu dalam PAS sentiasa dialu-alukan sebagai tanda kepercayaan terhadap perjuangan parti yang telah lama bertapak dalam politik tanah air.
“Pemuda PAS ambil maklum kenyataan Wan Fayhsal itu. Buat masa ini, belum ada sebarang perbincangan rasmi antara pimpinan mengenai perkara tersebut.
“Fokus kami dalam PN ialah memperkukuh kerjasama dan menguatkan Bersatu sebagai rakan utama dalam gabungan,” katanya.
Semalam, Wan Fayhsal yang digantung selama sepenggal didakwanya kerana masalah politik dalaman, terbuka dengan cadangan menyertai PAS bagi memperkukuhkan gabungan pembangkang pada peringkat akar umbi.
Beliau tidak menolak cadangan itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau bersedia menyertai PAS sebagai alternatif jika kemelut kepimpinan dalam parti itu sukar diselesaikan.
“Boleh (sertai PAS). ‘Unequivocal’ dengan cadangan tersebut, maksudnya ia sebagai ‘option’,” kata ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu dalam episod The Zaid Ibrahim Podcast.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah pula berkata parti itu belum membincangkannya kerana hal berkenaan membabitkan ‘rumah tangga’ Bersatu.
“Kita tak bincang lagi sebab anggap itu isu dalaman Bersatu, rumah tangga mereka.
“Tak bincang sebab dia tak mohon (sertai PAS), tunggu dulu (kalau ada permohonan) sebab tak ada permohonan…dia digantung (Bersatu) tetapi boleh balik semula,” katanya.