
Timbalan Presiden KDM, Wetrom Bahanda juga menafikan pernah berunding dengan mana-mana pihak mengenai pembentukan GBS seperti yang didakwa dalam satu laporan media baru-baru ini.
“KDM kekal dengan pendirian sebelum ini iaitu akan bergerak solo pada PRN akan datang, keputusan ini adalah seiring dengan kehendak akar umbi yang mahukan KDM bertanding solo.
“Mana mungkin kami membelakangi kehendak akar umbi, sekali lagi saya tegaskan, KDM sebagai sebuah parti tempatan akan bergerak solo pada PRN nanti,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Kitingan menerajui pembentukan GBS, selepas STAR dan Parti Progresif Sabah (SAPP) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam laporan itu, Kitingan mendakwa sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti tempatan termasuk KDM yang menunjukkan minat untuk menyertai blok baharu itu, yang dijangka dilancarkan beberapa hari sebelum penamaan calon PRN Sabah.
Bagaimanapun, Kitingan mendakwa KDM masih ragu-ragu untuk menyertai gabungan itu memandangkan pengumuman awal parti itu bahawa ia akan bertanding di 38 kerusi.
PRN Sabah akan diadakan pada 29 Nov, dengan hari penamaan calon pada 15 Nov dan pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov.
Seramai 1,784,843 rakyat Sabah layak mengundi.