Ahli akademik cadang PLKN ‘junior’ tangani salah laku disiplin

Ahli akademik cadang PLKN ‘junior’ tangani salah laku disiplin

Anuar Ahmad berkata kem selama tiga bulan dapat membantu mendisiplinkan semula pelajar menerusi pembentukan serta pembinaan karakter.

plkn 3
Pada masa ini PLKN 3.0 yang dimulakan sejak 12 Jan lalu selepas tujuh tahun dimansuhkan, membabitkan pelatih lelaki dan wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyarankan kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ‘junior’ bagi menangani salah laku membabitkan isu disiplin pelajar.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Anuar Ahmad, berkata kem tiga bulan itu dapat membantu mendisiplinkan semula pelajar menerusi pembentukan serta pembinaan semula karakter.

Katanya, program seumpama itu juga membantu menggilap potensi mereka, membina amalan hidup menghormati orang lain serta menanam semangat untuk berjaya.

“Jika salah laku sebabnya keluarga terlalu miskin, kerajaan bantulah keluarga tersebut dengan menyalurkan bantuan supaya kehidupan keluarga tersebut menjadi lebih baik.

“Tetapi jika salah laku disebabkan oleh diri pelajar itu sendiri seperti tidak berdisiplin, melawan guru, langgar peraturan sekolah dan sebagainya, elok kerajaan wujudkan kem PLKN junior untuk bantu mendisiplinkan semula pelajar ini,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, sepanjang program itu, pelajar terbabit boleh memberi tumpuan untuk membina diri selain meningkatkan stamina dan kecergasan masing-masing.

“Haramkan segala media sosial dan permainan video sepanjang tempoh latihan tersebut.

“Pada masa sama, pelajar teruskan sesi pembelajaran dan diajar oleh guru-guru bersara yang berpengalaman,” katanya.

Walaupun mengakui ia sukar dilaksanakan dan memerlukan peruntukan, Anuar berkata langkah itu adalah pilihan yang lebih baik dan berkesan berbanding pendekatan lama seperti gantung sekolah dan amaran.

Menurutnya, cara seperti itu dilihat tidak lagi berkesan dalam menangani masalah tingkah laku pelajar.

“Mana lebih sukar antara bangunkan program PLKN Junior atau terpaksa bina lebih banyak pusat pemulihan dadah, penjara dan mengurus lebih banyak jenazah mangsa yang meninggal akibat salah laku pelajar? Fikirkan…

“Yang penting, ubahlah cara penyelesaian kita. Ceramah, leteran, amaran atau hukuman gantung sekolah adalah cara lama yang sudah tidak berkesan. Lakukan pendekatan dengan lebih berani untuk selamatkan masa depan pelajar ini,” katanya.

Pada masa ini, PLKN 3.0 yang dimulakan sejak 12 Jan lalu selepas tujuh tahun dimansuhkan, membabitkan pelatih lelaki dan wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.

Program itu dilaksana secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal serta mental dalam menghadapi cabaran hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.