Wan Fayhsal saran Hamzah terajui Bersatu, PN demi kestabilan

Wan Fayhsal saran Hamzah terajui Bersatu, PN demi kestabilan

Ahli MPT Bersatu yang digantung keahlian satu penggal itu berkata Bersatu dan PN perlu stabil untuk menghadapi PRN Sabah bulan depan.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata cadangan Hamzah Zainudin menerajui PN mungkin mendapat sokongan sekutu kerana ketokohannya dan PAS pernah mencadangkan namanya sebagai ketua pembangkang selepas PRU15.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyarankan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin menerajui Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bagi menstabilkan parti dan gabungan pembangkang itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang digantung keahlian satu penggal pemilihan berkata, parti itu dan PN perlu stabil untuk menghadapi PRN Sabah bulan depan.

“Pada hemat saya, Hamzah perlu mengemudi parti. Yang paling penting bagi saya, selain Bersatu ialah PN, sebab kita perlu tangkas. Contohnya kita perlu menghadapi PRN Sabah, Bersatu bertanding, PAS susah nak masuk Sabah, jadi Bersatu kena ‘united’,” katanya dalam The Zaid Ibrahim Podcast.

Beliau berkata, cadangan Hamzah menerajui PN mungkin mendapat sokongan sekutu PN disebabkan ketokohannya dan PAS pernah mencadangkan namanya dilantik ketua pembangkang selepas PRU15.

“Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin tanya Presiden PAS, Hadi Awang siapa PAS nak namakan jadi ketua pembangkang memandangkan PAS mempunyai kerusi paling banyak. Tuan Guru Hadi kata PAS setuju mencadangkan Hamzah.

“Masa itu Tan Sri (Muhyiddin) berdepan pendakwaan…PAS nampak Hamzah sewaktu kami menjadi kerajaan, dia ialah setiausaha agung PN, jasa Hamzah cukup besar. Dia juga disukai semua Ahli Parlimen, saya lihat Hamzah disenangi semua pihak.”

Wan Fayhsal mendedahkan hubungan Hamzah dan Muhyiddin agak renggang ketika itu akibat campur tangan pihak ketiga cuba menghalang kemaraannya sebagai ketua pembangkang.

“Ia berlaku kerana orang ketiga mencucuk, ini biasa dalam pimpinan. Cucuk-mencucuk berlaku bila mereka nampak Hamzah lebih ke depan.

“Salah seorang rapat dengan presiden tegur Hamzah. Dia kata anda hanya ketua pembangkang di Parlimen, maknanya di luar Parlimen ialah Muhyiddin, seolah-olah nak tegur jangan ‘overshadow’ presiden.

“Ini masalah dihadapi beberapa tahun ini (menyebabkan Bersatu nampak lemah),” dakwanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin Bersatu, termasuk memecat Wan Saiful Wan Jan tidak kena pada masanya.

“Saya juga persoal kenapa tindakan disiplin dibuat minggu lalu di tengah-tengah kita akan berkempen untuk PRN Sabah. Tak boleh ke keputusan itu dibuat selepas PRN Sabah?” soalnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kemelut dihadapi Bersatu kini akibat “kuda trojan Madani” yang didakwa cuba mengambil kesempatan atas perpecahan dalaman parti demi kepentingan musuh politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.