Kerjasama gerakan Dr M-Muhyiddin bukan ‘perkahwinan politik’ palsu, kata pemimpin PN

Kerjasama gerakan Dr M-Muhyiddin bukan ‘perkahwinan politik’ palsu, kata pemimpin PN

Ketua Wanita PN Mas Ermieyati Samsudin berkata Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan Sekretariat Orang Melayu untuk perjuangkan nasib masyarakat.

hadi awang mahathir
Muhyiddin Yassin yang mengetuai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) turut menyokong Sekretariat Orang Melayu diketuai Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan Sekretariat Orang Melayu bukan ditubuhkan untuk mewujudkan persaingan di antara dua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, kata seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Ketua Wanitanya Mas Ermieyati Samsudin berkata tidak timbul kerjasama Muhyiddin dan Mahathir yang masing-masing mengetuai gerakan itu sebagai ‘perkahwinan politik’ palsu seperti didakwa Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, IPR dan Sekretariat Orang Melayu membawa matlamat sama — memperjuangkan nasib rakyat dan memperkukuh suara pembangkang dengan membina kesepakatan politik serta sosial.

“Tujuannya bagi membetulkan hala tuju negara, bukan bersaing tentang siapa yang mengetuai platform.

“Penyatuan IPR dan Sekretariat Orang Melayu memberi mesej jelas PN terbuka bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi agenda rakyat,” katanya kepada FMT mengulas sindiran Puad yang turut menyifatkan kerjasama itu sebagai rapuh.

Gerakan dinamakan Sekretariat Orang Melayu dibentuk Jun lalu bagi menyatukan semua pihak yang memperjuangkan nasib kaum itu bawah satu ‘payung besar’.

Pengasasnya, Mahathir dilaporkan berkata, inisiatif itu langkah mengembalikan kuasa politik dan cabaran dihadapi orang Melayu, dengan perbincangannya turut membabitkan Muhyiddin dan Presiden PAS, Hadi Awang, baru-baru ini.

Pada 18 Ogos lalu, gabungan 11 parti pembangkang diketuai Muhyiddin turut menubuhkan gabungan longgar dikenali IPR bagi memperjuangkan isu rakyat didakwa gagal ditangani Putrajaya, termasuk janji reformasi belum dilaksanakan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris pula berpendapat tidak timbul isu pertembungan antara IPR dan Sekretariat Orang Melayu kerana kedua-duanya memainkan peranan berbeza.

“Dr Mahathir mengetuai NGO Melayu, sementara Muhyiddin mengetuai parti politik diwakili pelbagai kaum. Kedua-duanya menuju matlamat sama,” jelasnya.

Razali turut menempelak Puad kerana cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap pembangkang sedangkan gabungan kerajaan sendiri dilihat tidak sehaluan.

“Sebenarnya yang ‘kahwin palsu’ dan penuh wayang ialah dalam kerajaan hari ini. Umno dan DAP misalnya, masih berbeza haluan.

“Umno perlu menjelaskan kedudukannya dalam kerajaan sama ada benar-benar menjadi peneraju politik Melayu atau sekadar pelengkap dalam gabungan yang diterajui Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.