
Beliau juga telah merancang mengubah suai rumah mereka tepat pada masanya demi perayaan itu.
Namun, pada pagi 1 April, semua perancangan itu musnah begitu sahaja apabila kebakaran paip gas meletus di kejiranan Putra Heights mereka.
Mengenang kembali insiden itu, Puspagaran memberitahu FMT Lifestyle: “Saya, isteri, dan anak-anak tidur di bilik sama kerana malam sebelumnya, kami menonton filem sebelum terlelap.”
Awal pagi keesokan harinya, mereka dikejutkan bunyi memekakkan. “Rasanya seperti gempa bumi dan rumah bergegar,” tambah lelaki berusia 45 tahun itu, yang bekerja di sebuah bank.

Masih segar dalam ingatannya melihat bumbung merekah dan jubin-jubin jatuh ke lantai bilik tidur. Keempat-empat mereka kemudian bergegas turun, dan mencari-cari kunci pintu hadapan, namun sedar kunci itu masih berada di bilik tidur, yang baru sahaja mereka tinggalkan.
Mereka meluru keluar melalui dapur dan melarikan diri melalui pintu belakang, walaupun hati berat kerana terpaksa meninggalkan anjing mereka, Elon, yang terperangkap di hadapan rumah.
Dengan berkaki ayam, mereka lari menyelamatkan diri. Di sekeliling kejiranan mereka telah bertukar kucar-kacir.
Isterinya, Geetha Velmunigan, 44, menyebut: “Orang menjerit dan menangis.”
“Kami juga nampak kereta terbakar dan mencari,” kata Puspagaran.
Bersama beberapa penduduk lain, mereka berlari ke hujung kejiranan sebelum melarikan diri melalui satu terowong. Di seberang, mereka memanjat cerun kecil dan akhirnya sampai ke lebuh raya.
Di situ, mereka menahan sebuah kereta yang lalu-lalang dengan pemandu itu membawa mereka ke rumah ibu bapa Geetha.
Kata Puspagaran, usaha mereka menyelamatkan diri mungkin mengambil masa sekitar 30 minit sehinggalah dapat menahan kereta tersebut, tetapi tempoh itu dirasakan jauh lebih lama.

Geetha dan anak lelaki bongsu, Theeshanthan, mengalami lecur. Anak lelaki mereka yang lebih tua, Sidhaartan, pula terjatuh semasa melarikan diri, menyebabkan lutut dan buku lalinya lebam. Puspagaran mendapati kulit di tapak kakinya mengelupas disebabkan bahang panas jalan raya.
Lewat hari itu, Puspagaran dan abang iparnya kembali dan bersyukur mendapati Elon terselamat. Anjing itu juga mengalami lecur.
Namun, dugaan itu belum berakhir. Puspagaran mengimbau kembali pemandangan yang menyedihkan menyambutnya sejurus kembali ke kejiranan itu, beberapa hari kemudian.
“Ia kelihatan seperti tempat berhantu, macam perang baru sahaja tamat. Semuanya berubah menjadi warna perang, manakala semua pokok hangus. Kerosakannya cukup teruk,” katanya.
Kediaman yang dibeli hasil titik peluh kemudian diisytiharkan musnah sepenuhnya. Beliau menganggarkan jarak rumahnya ke lokasi paip gas itu sekitar 120-150m.
Rumah mereka berteduh menyimpan kenangan selama 15 tahun itu digambarkan ‘musnah dalam sehari’.

Selepas tinggal bersama ibu bapa Geetha selama beberapa minggu, keluarga itu kemudiannya menyewa rumah di USJ 11, Subang Jaya, dan masih menetap di sana. Puspagaran berkata, rumah mereka di Putra Heights masih dalam proses dibaiki.
“Kami hanya mahu kembali ke rumah kami. Tempat ini sekadar kami singgah, tapi bukan rumah kami,” tambahnya.
Kini, Deepavali menjadi sambutan yang lebih tenang bagi keluarga itu. Mereka berhasrat menziarahi ibu bapa mereka dan pada minggu itu, akan mengadakan pertemuan kecil bersama ahli keluarga di rumah sewa mereka.

Meskipun jauh berbeza daripada sambutan yang mereka bayangkan, namun rasa syukur masih memenuhi hati mereka kerana terselamat.
Deepavali sentiasa menjadi detik bersama orang tersayang; justeru, walaupun kebakaran memusnahkan rumah mereka, ia tidak memadamkan erti perayaan itu dalam sanubari.
“Memang kami cedera, trauma, bimbang dan takut, tetapi kami tetap bersama,” kata Puspagaran.