2 batalion dari Semenanjung pindah ke Sabah

2 batalion dari Semenanjung pindah ke Sabah

Menteri pertahanan berkata, keselamatan dan kedaulatan Malaysia di Sabah diperkukuh melalui perancangan Angkatan Masa Hadapan mulai 2025.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin (kanan) bersalaman dengan anggota tentera sebaik tiba sempena lawatan kerjanya di Pos Tanduo hari ini. (Gambar Bernama)
LAHAD DATU:
Kementerian Pertahanan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan Malaysia di Sabah melalui perancangan Angkatan Masa Hadapan yang akan berlaku dalam tempoh lima tahun bermula 2025.

Menterinya, Khaled Nordin, berkata antara perancangan di bawah pelan itu termasuk menambah jumlah batalion di dua briged di negeri itu serta menubuhkan satu rejimen artileri baharu.

“Biasanya satu briged mempunyai tiga batalion, namun bagi Sabah, dua briged sedia ada akan ditambah satu batalion lagi, menjadikan setiap briged mempunyai empat batalion.

“Ini bermakna dua batalion dari Semenanjung akan dipindahkan ke Sabah,” katanya selepas meninjau Pos Tanduo di sini.

“Kita juga akan menubuhkan satu rejimen artileri 155mm memandangkan ketika ini hanya terdapat rejimen 105mm di Sabah. Selain itu, jumlah radar pesisir pantai akan ditambah kepada empat unit berbanding dua sebelum ini, dengan dua daripadanya akan ditempatkan di kawasan Ops Pasir, termasuk di Lahad Datu.”

Menurutnya, Kementerian Pertahanan memberi tumpuan besar terhadap aspek keselamatan di Sabah, termasuk memperkukuh keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kita dalam proses memperoleh pangkalan bergerak di Semporna menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang kini bersifat statik dan dijangka tamat tempoh penggunaan tahun depan. Selain itu, kita juga sedang melaksanakan perolehan kapal serta pesawat baharu.”

Beliau berkata, kementeriannya turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi tinggi dalam operasi ketenteraan, khususnya di empat sektor Ops Pasir, termasuk Lahad Datu yang meliputi kawasan tanggungjawab sangat luas.

“Antaranya penggunaan dron serta teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantapkan operasi dan memudahkan tugasan anggota tentera di lapangan. Pihak kementerian akan terus memperincikan perancangan ini.”

Katanya, usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan negara turut memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Sabah yang menerima kira-kira 1.7 juta pelancong tahun ini.

“Kehadiran Ops Pasir dengan sektor tanggungjawab terancang memastikan ekonomi Sabah kekal stabil. Tanpa operasi seperti ini, mungkin wujud risiko penyeludupan atau ancaman keselamatan. Namun hari ini, keadaan di Sabah tenang dan terkawal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.