Tuduh saya pulau mesyuarat ‘fitnah jahat’, kata Sanjeevan

Tuduh saya pulau mesyuarat ‘fitnah jahat’, kata Sanjeevan

Naib ketua Bersekutu Bersatu sangkal dakwaan seorang pemimpin sayap, sedia beri kerjasama penuh dalam siasatan.

R Sri Sanjeevan
Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan tegaskan, tiada mana-mana ahli yang lebih tinggi daripada perlembagaan parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sri Sanjeevan menafikan dakwaan beliau memulaukan mesyuarat sayap itu bulan lepas, menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat.

Sanjeevan berkata, beliau sedia memberi kerjasama penuh sekiranya parti menjalankan siasatan berhubung tuduhan itu.

“Soal mereka kata saya pulaukan mesyuarat itu adalah fitnah jahat dan saya serah kepada pucuk pimpinan parti siasat, sama ada betul atau fitnah saya kata saya pulau mesyuarat.

“Saya juga sedia beri kerjasama penuh kepada parti untuk mereka lakukan siasatan,” katanya kepada FMT.

Beliau menegaskan, mana-mana ahli parti yang melakukan sebarang perbuatan bertentangan dengan perlembagaan parti perlu dikenakan tindakan tegas, termasuk digantung atau dipecat.

“Tiada siapa yang lebih tinggi daripada perlembagaan parti,” katanya.

Dilaporkan Khamis lepas, Ketua Bersekutu Bersatu Bangi Vasantha Kumar Krishnan meminta lembaga disiplin parti menjelaskan status aduan membabitkan dakwaan Sanjeevan memulaukan mesyuarat Bersekutu Bersatu.

Beliau berkata, timbul persoalan mengapa tiada perkembangan dalam siasatan itu apabila dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan empat ketua bahagian dikenakan tindakan disiplin atas salah laku dalam Persidangan Agung Tahunan baru-baru ini.

Katanya, semua ahli parti wajar dilayan secara adil tanpa mengira jawatan atau kedudukan kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.