
Ketua Eksekutif HRD Corp, Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata usaha Malaysia melalui Tahun Kemahiran Asean (AYOS) 2025 memberi inspirasi kepada negara lain untuk mengikuti jejak langkah sama.
“Negara seperti Indonesia, Timor Leste dan Kemboja kini mengadaptasi model seperti Minggu Latihan Kebangsaan dan tabung pembangunan kemahiran yang kita perkenalkan.
“Legasi ini akan diteruskan melalui Forum Kemahiran Global dan Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Manusia Asean yang akan diadakan akhir tahun ini,” katanya dalam temu bual FMT.
Syed Alwi berkata, strategi pembangunan modal insan Malaysia kini bergerak melangkaui subsidi latihan, ke arah pembentukan dasar negara serta kerjasama serantau.
Beliau berkata, pembangunan tenaga kerja perlu diselaraskan dengan keutamaan negara seperti pekerjaan hijau, kewangan Islam dan ekonomi digital, sambil memupuk kemahiran teknikal serta kemahiran berasaskan nilai.
“HRD Corp kini berperanan sebagai pemangkin strategik dalam ekosistem modal insan Malaysia — membantu industri mengenal pasti jurang kemahiran, menyusun program latihan bertauliah, serta memastikan golongan di luar ekosistem seperti pekerja gig turut mendapat akses kepada peluang pembelajaran,” katanya.
Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025, iaitu acara utama AYOS 2025 baru-baru ini menutup tirai selepas tiga hari sesi perbincangan bertemakan ‘Menerajui Revolusi Modal Insan’.
Ia menarik lebih 3,000 delegasi, 300 pempamer serta 33 penceramah dari dalam dan luar negara yang membincangkan masa depan pekerjaan di rantau ini.
Dalam ucapan pembukaannya, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menegaskan komitmen Malaysia untuk membina tenaga kerja masa depan serta menerajui peralihan Asean ke arah pertumbuhan inklusif dan berteraskan teknologi.
“Kita telah membangunkan sistem peningkatan dan penyesuaian kemahiran dalam pasaran buruh secara sistematik terutama melalui usaha HRD Corp.
“Daripada RM6.17 bilion dikutip dalam tempoh tiga tahun lalu, 94% dibelanjakan untuk melatih kira-kira empat juta pekerja. Kita akan mempergiat lagi usaha menyediakan lebih banyak latihan, termasuk kursus percuma, bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan pasaran kerja baharu yang dipacu oleh AI,” katanya.
Sim turut mengulas kebimbangan awam terhadap kecerdasan buatan (AI) dan automasi, sambil mengingatkan rakyat Malaysia kreativiti dan kebolehsuaian manusia masih tidak dapat digantikan.
“AI mungkin mengubah pekerjaan, tapi ia tidak dapat menggantikan apa yang menjadikan manusia unik — kebijaksanaan kita, kepintaran, serta keupayaan berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah.
“Apa yang kita lakukan di sini ialah menyediakan rakyat bukan sahaja untuk masa depan pekerjaan, tapi untuk pekerjaan membina masa depan,” katanya.
NHCCE 2025 turut menampilkan penceramah terkemuka seperti ahli futuris Michio Kaku, atlet Olimpik Sonny Bill Williams, pakar transformasi Idris Jala dan ikon sukan Nicol David, yang berkongsi pandangan mengenai kepimpinan, ketahanan, dan inovasi.
Segmen BizMatch dalam NHCCE 2025 merekodkan 879 penyertaan merentasi 560 kursus, melibatkan 86 penyedia latihan dan 394 majikan, dengan nilai keseluruhan RM3.176 juta.
“Masa depan sudah ada di sini, dibentuk oleh perubahan, teknologi dan bakat. Misi kami adalah memastikan setiap rakyat Malaysia — daripada graduan sehingga pemilik perniagaan — mampu berkembang dalam masa depan itu. Tiada siapa harus ketinggalan,” kata Syed Alwi.