Kecaman berlebihan tak bantu penyelesaian damai Gaza, kata Anwar

Kecaman berlebihan tak bantu penyelesaian damai Gaza, kata Anwar

Perdana menteri membidas pandangan keterlaluan sesetengah pihak berhubung pembabitan AS dalam rundingan damai Hamas-Israel.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kecaman berlebihan berhubung pembabitan Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan gencatan senjata Hamas-Israel tidak membantu dalam penyelesaian damai untuk Gaza, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri berkata, beliau sempat berhubung dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi untuk berterima kasih atas khidmat dan jasanya bersama negara Arab, termasuk Turki yang sekurang-kurangnya dapat menghentikan serangan berterusa Israel ke atas Gaza.

“Saya beritahu apa kerunsingan saya, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara (dicadangkan Presiden Donald Trump), tapi saya dengar juga (pandangan) lain termasuk Hamas yang berunding dengan Israel.

“Jadi, yang kita nak lebih daripada Hamas itu kenapa? Orang di situ termasuk Hamas yang berunding, sikap kita pula nak ajar lagi, sedangkan Hamas ini yang bertempur dengan ribuan sudah mati.

“Kita pula cakap jangan berunding dengan AS dalam rundingan yang turut disertai Mesir dan Qatar,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Politeknik Merlimau, Melaka yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial RTM.

Anwar berkata, dalam perbualan dengan al-Sisi semalam, beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia berhubung kemungkinan Israel melancarkan serangan semula.

“Sisi memberitahu Mesir akan adakan satu persidangan pada November dan beliau akan ambil perkara yang kita bangkitkan yang tak termasuk dalam 20 perkara (cadangan Trump).

“Ketika ini, trak bawa makanan sudah dibenarkan masuk, kita juga minta (Mesir membuka) laluan untuk sukarelawan kita masuk dan Sisi memberikan jaminan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.