
Jawatankuasa disiplin Fifa menyatakan ada percanggahan dokumen FAM yang mendakwa datuk dan nenek tujuh pemain warisan dilahirkan di Malaysia dengan siasatan badan bola sepak dunia itu mendapati, rekod asal menunjukkan mereka dilahirkan di Sepanyol, Argentina, Brazil, dan Belanda.
Hari ini, Timbalan Presiden FAM, S Sivasundaram, berkata badan induk bola sepak negara itu telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mencegah isu sama berlaku.
“Setiausaha agung akan digantung berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan jawatankuasa menjalankan tugasnya,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, di Kelana Jaya.
“Kami mahu siasatan dijalankan secara telus. Biar jawatankuasa tentukan apa yang silap.”
Sebelum ini, Noor Azman berkata dokumen dipertikaikan Fifa berpunca daripada ‘ralat pentadbiran’ dalam proses penyerahan dokumen dijalankan kakitangan pentadbiran FAM.
Sivasundaram berkata, Jawatankuasa Eksekutif FAM membuat keputusan menggantung tugas Noor Azman semalam.
FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya didenda Fifa bulan lalu selepas badan antarabangsa itu berkata FAM telah mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan tujuh pemain tersebut, sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia menentang Vietnam, pada 10 Jun.
FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta), manakala pemain berkenaan– Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel – masing-masing didenda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Dalam kenyataan minggu lalu, FAM berkata pertikaian itu berpunca daripada ‘ralat pentadbiran’ selepas seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen, bukannya dokumen rasmi dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ditanya sama ada sebarang tindakan telah diambil terhadap kakitangan melakukan kesilapan itu, Sivasundaram berkata jawatankuasa sedang berusaha mengenal pasti kakitangan terlibat.
FAM telah merayu keputusan Fifa. Rayuan yang gagal boleh menyebabkan pemotongan mata untuk pasukan kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung.
Malaysia membelasah Laos 5-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa untuk mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan, sekali gus kekal menerajui Kumpulan F dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9), Laos (3), dan Nepal (0).
Malaysia akan menentang Nepal pada 18 Nov sebelum menamatkan kempen menentang Vietnam di Hanoi, pada Mac tahun hadapan.