
Asha Hemrajani dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura, berkata ekonomi digital rantau ini yang dijangka mencecah sekurang-kurangnya USD1 trilion menjelang 2030 bergantung hampir sepenuhnya kepada kabel dasar laut.
“Kabel itu menampung lebih 99% trafik data antara benua.
“Tetapi ia mudah terdedah kepada kerosakan tidak sengaja atau sabotaj, bencana alam, serta perubahan iklim — yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam, hubungan ketenteraan serta sistem kewangan,” katanya kepada FMT.
Sebahagian besar infrastruktur dasar laut Asean terletak di Laut China Selatan — laluan paling pantas dan murah menghubungkan Asia Tenggara dengan benua Amerika.
Namun, ketegangan di perairan yang menjadi pertikaian pelbagai negara itu menyukarkan kerja pemasangan dan pembaikan kabel.
Walaupun Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) pada 2016 telah menolak tuntutan ‘garisan sembilan titik’ China di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS), Asha berkata Beijing masih mengenakan syarat permit untuk laluan dan pembaikan kabel.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beberapa projek bukan milik China tertangguh dan membimbangkan pelabur untuk membina laluan kabel melalui kawasan terbabit.
“Halangan birokrasi dan politik bersama peralihan pelaburan besar dari Amerika Syarikat dan sekutunya ke luar Hong Kong dan Laut China Selatan, menunjukkan persaingan strategik serta peraturan ketat kini menjadi faktor utama risiko terhadap kabel dasar laut di rantau ini,” tambahnya.
Farlina Said, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) pula berkata kabel dasar laut merentasi banyak bidang kuasa, menjadikan tadbir urus dan tindak balas krisis lebih rumit.
Menurutnya, kabel itu boleh menjadi isu keselamatan siber membabitkan penyulitan data atau ujian kerentanan selain hal berkait keselamatan maritim yang membabitkan perlindungan fizikal serta hak pembaikan.
“Tanggungjawab bagi perkara ini adakalanya tidak jelas,” katanya.
Kedua-dua penganalisis menyeru kerjasama serantau lebih kukuh serta pelaksanaan rangka kerja sedia ada untuk melindungi infrastruktur kritikal itu.
Asha mencadangkan ASEAN membangunkan ‘strategi pelbagai pihak’ bagi memperkukuh Garis Panduan ASEAN 2019 untuk Ketahanan dan Pembaikan Kabel Dasar Laut, termasuk meneroka kerjasama pertahanan dalam pemantauan kabel.
“Pembinaan lebih banyak kabel, seperti cadangan rangkaian kabel serantau ASEAN bagi meningkatkan kapasiti dan kepelbagaian juga langkah penting,” katanya.
Farlina menambah, agensi pengawal selia perlu bekerjasama lebih rapat merentasi sektor.
“ASEAN memang mempunyai garis panduan sejak 2019, tetapi masih banyak cabaran keselamatan kabel dasar laut yang memerlukan perbincangan lebih mendalam tentang kaitan antara keselamatan maritim dan siber,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 24 hingga 28 Oktober dijangka turut membincangkan isu keselamatan serantau, ketahanan infrastruktur digital dan kerjasama ekonomi.