
Perkembangan terbaru itu disahkan peguam sukan antarabangsa, Serge Vittoz, mewakili FAM dalam kes rayuan tersebut.
“Keputusan asal dikeluarkan pada 26 Sept. Dalam tempoh ditetapkan, kami sudah mengemukakan rayuan rasmi pada 14 Okt.
“Hari ini kami dimaklumkan bahawa keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Okt oleh Jawatankuasa Rayuan Fifa. Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada semua pihak terbabit pada hari sama atau beberapa hari kemudian,” katanya dalam sidang media khas di Wisma FAM.
Vittoz, dari firma Charles Russell Speechlys yang berpusat di Geneva dan London, berkata FAM masih mempunyai pilihan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika keputusan tidak memihak kepada mereka.
“Selepas keputusan daripada Jawatankuasa Rayuan ini, jika FAM atau pemain yang terbabit tidak berpuas hati, mereka masih boleh mengemukakan rayuan ke CAS yang akan masa lebih lama untuk diselesaikan,” katanya.
Menurut Vittoz, tujuan utama rayuan itu adalah untuk melindungi pemain dan membuktikan FAM tidak terlibat dalam sebarang pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan pemain warisan terbabit.
“Objektif utama FAM dalam rayuan ini adalah untuk melindungi pemain dan memastikan Fifa memahami bahawa pemain tidak ada kaitan dengan isu ini.
“Objektif kedua ialah memastikan Fifa faham bahawa sebagai institusi, FAM tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam pemalsuan dokumen yang menjadi asas pertuduhan,” katanya.
Bulan lalu, FAM dan tujuh pemain warisan — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — dihukum oleh Jawatankuasa Tatatertib Fifa selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan pada 6 Okt.