
Menurut kementerian itu, kenyataan PAS semalam yang mempertahankan hantaran pemimpinnya sebagai ‘ulasan rentas sempadan yang biasa’ bercanggah secara langsung dengan penjelasan parti itu pada April, yang mana ia cuba menjarakkan diri daripada isu itu.
Kenyataan PAS itu dibuat bagi menjawab kenyataan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Singapura K Shanmugam dalam Parlimen pada 14 Okt lepas yang menyebut PAS sebagai antara beberapa pihak yang campur tangan dalam politik negara itu.
“Apakah pendirian sebenar PAS? Sebagai sebuah parti politik Islam dari Malaysia, PAS mungkin tidak mengutamakan kepentingan Singapura,” kata MHA dalam kenyataan.
Kementerian itu berkata, dakwaan PAS bahawa ulasan awalnya tidak mungkin mempengaruhi rakyat Singapura adalah tidak selari dengan tindakannya.
“Jika benar, mengapa perlu membuat ulasan sedemikian? Jelas niat mereka adalah untuk mempengaruhi pengundi Singapura,” katanya.
MHA menegaskan, pihak luar tiada hak memberitahu rakyat Singapura bagaimana untuk mengundi, ‘lebih-lebih lagi berdasarkan sentimen kaum dan agama’, dan menyifatkan kelakuan sedemikian sebagai ‘memecahbelahkan dan tidak boleh diterima’.
“Mungkin begitu caranya politik dan parti politik diatur di negara lain, tetapi bukan di Singapura yang berbilang kaum dan agama,” tambahnya.
Kementerian itu berkata, walaupun pihak luar boleh mengulas mengenai dasar Singapura, kerajaannya ‘tidak akan berdiam diri’ jika mana-mana pihak asing cuba mempengaruhi rakyat Singapura atau mengeksploitasi isu kaum dan agama semasa pilihan raya.
Pada April, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkongsi hantaran oleh bekas warga Singapura Zulfikar Shariff yang mendakwa beberapa Ahli Parlimen Melayu-Islam di negara itu gagal mewakili masyarakat Islam.
Pada hari sama, Bendahari Agung PAS Iskandar Abdul Samad turut menyatakan sokongan terhadap seorang calon dalam pilihan raya Singapura.
Ini menyebabkan MHA dan jabatan pilihan raya Singapura menegur pemimpin PAS kerana didakwa cuba mempengaruhi pilihan raya umum negara itu pada 3 Mei dengan hantaran yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.