
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata pada 7 Okt, pihaknya menerima laporan polis melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun, yang merupakan pemandu lori ditembak pada jarak dekat.
Katanya, bertindak melalui maklumat yang diperoleh, polis menjalankan beberapa tangkapan di sekitar Selangor dan berjaya menahan 10 lelaki tempatan berumur 21 hingga 40 tahun disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang.
“Maklumat tangkapan membawa polis ke sebuah rumah di Kuala Selangor pada 10 Okt dan berjaya menemukan sepucuk pistol automatik jenis Beretta yang digunakan dalam kes tembakan berkenaan,” katanya.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat berebut kawasan pengedaran dadah.
Semua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah kekerasan dan dadah serta pihaknya sedang mengesan dua lagi individu untuk membantu siasatan.
“Seorang daripada suspek yang sedang dikesan merupakan individu dalam senarai dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan jenayah terancang,” katanya.
Semua yang ditahan direman hingga 20 Okt. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat.