
SKMM memaklumkan, keputusan mahkamah itu mengesahkan pendiriannya bahawa meskipun individu bebas menyuarakan pandangan, ‘kebebasan tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengikut lunas undang-undang’.
“Hak kebebasan bersuara tidak terpakai bagi perbuatan membuat kenyataan palsu, berniat jahat atau memfitnah yang menjejaskan reputasi pihak lain,” kata SKMM dalam kenyataan.
Menurut SKMM, Hunter menerbitkan siri artikel antara April hingga November 2024 yang disifatkan sebagai palsu dan memfitnah badan kawal selia internet negara.
SKMM membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan tersebut, yang menurutnya mengandungi tuduhan serius dan tidak berasas sehingga mengelirukan orang awam serta mencemarkan reputasi suruhanjaya itu.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat beberapa minggu selepas Hunter ditahan pihak berkuasa Thailand ketika hendak meninggalkan negara itu untuk urusan peribadi ke Hong Kong.
Hunter, seorang warga Australia yang pernah lama menetap di Malaysia dan kini tinggal di Thailand, terkenal dengan penulisannya mengkritik politik Malaysia.