Grid Tenaga Asean kunci pertumbuhan dan kelestarian serantau, kata Anwar

Grid Tenaga Asean kunci pertumbuhan dan kelestarian serantau, kata Anwar

Perdana menteri berkata peralihan tenaga menjadi keutamaan bawah kepengerusian Malaysia dalam Asean.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Fadillah Yusof bersama pemimpin lain dalam Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-43 dan Forum Perniagaan Tenaga Asean ke-25 hari ini.
KUALA LUMPUR:
Grid Tenaga Asean (APG) adalah teras kepada integrasi dan kelestarian serantau, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyifatkannya sebagai ‘mahkota permata’ kepada visi tenaga blok itu.

Anwar berkata, APG akan membolehkan rantau ini memanfaatkan potensi tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, serta membekalkan elektrik dan tenaga yang boleh dipercayai serta mampu milik merentasi sempadan.

Beliau berkata, peralihan tenaga adalah salah satu keutamaan bawah kepengerusian Malaysia dalam Asean.

“Salah satu tumpuan utama kepengerusian kita ialah tenaga – khususnya peralihan tenaga, dengan fokus terhadap pembangunan Grid Tenaga Asean,” katanya dalam ucaptama Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean (AMEM) ke-43 dan Forum Perniagaan Tenaga Asean ke-25.

Anwar berkata, Asean mencapai kemajuan besar dalam sektor tenaga tahun ini, merujuk pelaksanaan Fasa I Pelan Tindakan Tenaga Asean (APAEC) serta memorandum persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan mengenai APG.

“Keputusan-keputusan ini menandakan kemajuan besar dalam kerjasama dan integrasi serantau,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan inklusiviti dalam pertumbuhan rantau ini.

“Kita tidak boleh terus berpegang kepada tanggapan lapuk tentang kemajuan, yang bertolak ansur atau membiarkan ketidaksamarataan serta jurang besar antara wilayah, subwilayah, atau antara golongan kaya dan miskin,” katanya.

Menyifatkan APG sebagai ‘tulang belakang kerjasama serantau yang menghubungkan kelestarian, keselamatan dan kemampuan dalam erti sebenar’, Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap agenda bersama Asean.

Beliau berkata, cita-cita mesti disokong dengan sumber mencukupi, sambil menekankan APG memerlukan pelaburan berterusan dan pembiayaan inovatif.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Fadillah Yusof, berkata AMEM ke-43 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Asean ke arah kerjasama tenaga mampan.

Beliau berkata, bawah kepengerusian Malaysia mesyuarat itu berjaya mencapai sasaran ekonomi utama bagi 2025.

“Ini termasuk kelulusan MoU yang dipertingkat bagi APG, pelan hala tuju baharu APAEC 2026–2030, serta pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG yang disokong Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia, dengan komitmen gabungan melebihi USD12 bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.