
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Masiung Banah berkata alasan Shafie kononnya hutang Putrajaya tinggi yang menyebabkannya dilihat ‘berlembut’ dalam menuntut hak kewangan negeri itu sebagai tidak boleh diterima.

Tegasnya, kepentingan dan keutamaan rakyat harus menjadi dasar utama bagi memastikan agihan lebih besar dapat digunakan untuk menyelesaikan isu asas seperti kemudahan infrastruktur luar bandar.
Berbanding Shafie, Masiung berkata pentadbiran Hajiji Noor lebih konsisten dan pendekatan diplomasi beliau membuahkan hasil apabila Sabah kini menerima pemberian khas RM600 juta.
“Iktibar kepada pengundi ialah jangan lagi memilih pemimpin yang cepat mengalah.
“Sabah memerlukan suara yang tegas, bukan suka beri alasan,” kata penyandang DUN Kuamut itu kepada FMT.
Kelmarin, Shafie yang menjadi ketua menteri dari Mei 2018 hingga September 2020 menjelaskan pentadbirannya menerima RM53.4 juta pada 2019 disebabkan kekangan kewangan serta hutang kerajaan persekutuan ketika itu.
Adun Senallang itu menafikan dakwaan pentadbirannya tunduk dalam memperjuangkan hak Sabah seperti dibangkitkan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, baru-baru ini.
Armizan mendakwa Warisan ketika menjadi pembangkang lantang menentang Barisan Nasional (BN) kerana mengekalkan kadar RM26.7 juta selama lebih empat dekad.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Arthur Sen turut mempertikai alasan Shafie, sambil menegaskan kerajaan persekutuan kini mampu menyalurkan RM600 juta walaupun hutang dan liabiliti negara mencecah RM1.69 trilion.
Secara perbandingan, katanya, Penyata Kewangan 2019 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2020 memberitahu kerajaan persekutuan mencatatkan jumlah hutang RM792.9 bilion.
“Jumlah hutang sekarang jauh lebih tinggi berbanding pada 2019. Jadi mengapa selepas kerajaan Shafie ditukar, jumlah pemberian khas meningkat daripada RM120 juta, kemudian RM300 juta dan kini RM600 juta?” kata Arthur.
Arthur percaya pendekatan berhemah dan diplomasi pentadbiran Hajiji memudahkan rundingan dengan Putrajaya serta memperkukuh justifikasi Sabah dalam permohonan mereka.
“Kerajaan negeri kini pimpinan GRS jelas mempunyai alasan kukuh untuk berjuang hak Sabah, bukannya mudah mengalah atas nama kepentingan rakyat,” katanya.