
Ketua Putera MIC Shatesh Kumar Sangar berkata laporan rasmi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) merekodkan 3,883 kes buli pada 2022, meningkat kepada 6,528 pada 2023, manakala 7,681 kes dilaporkan tahun lalu.
Katanya, angka itu bukan sahaja membimbangkan, malah mencerminkan bahawa persekitaran pendidikan di negara ini semakin tidak selamat untuk pelajar.
“Setiap kali tercetus kes buli, rogol atau bunuh (BRB) di sekolah, tindakan kementerian sering berakhir dengan penubuhan jawatankuasa khas atau kajian semata-mata tanpa perubahan dasar yang jelas dan berkesan.

“Sampai bila kita mahu berputar dalam kitaran reaksi yang sama tanpa sebarang perubahan dasar yang nyata?” katanya dalam kenyataan.
Terbaru, KPM menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat secara adil dan menyeluruh kejadian pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4).
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama.
Sementara itu, Shatesh mencadangkan KPM segera melaksanakan Dasar Sekolah Selamat yang merangkumi pencegahan buli secara menyeluruh, termasuk pelaporan wajib, intervensi awal, dan sokongan psikososial kepada semua warga sekolah.
Beliau turut mencontohkan kejayaan Korea Selatan dan Finland yang memperkenalkan dasar berasaskan pencegahan serta intervensi awal sehingga berjaya menurunkan kadar buli dengan ketara dalam tempoh beberapa tahun.
“Malaysia tidak perlu menunggu lebih banyak tragedi untuk bertindak.
“Apa yang kita perlukan hanyalah keberanian politik untuk melaksanakan dasar yang tegas dan menyeluruh,” katanya.