Pegawai jabatan agama didakwa seleweng wang program RM30,800

Pegawai jabatan agama didakwa seleweng wang program RM30,800

Tertuduh, Muhammad Suhaimi Salleh mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan terhadapnya.

Pegawai jabatan agama, Muhammad Suhaimi Salleh, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng RM30,800 untuk program keagamaan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai jabatan agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng RM30,800 yang diperuntukkan bagi program keagamaan tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Suhaimi Salleh, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allan Suman Pillai, menurut Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pesanan kerajaan bernilai RM11,000 bagi pelaksanaan Program Gerakan Tumpuan Dakwah Sempena Isra’ Mi’raj di Masjid Daerah Kubang Pasu pada 23 Januari tahun lalu, walaupun mengetahui program berkenaan tidak pernah dijalankan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kedudukannya pada hari sama untuk memperoleh RM19,800 dengan meluluskan satu lagi pesanan kerajaan bagi program Majlis Haflah Atfal Tadika Islam peringkat daerah Kubang Pasu yang mana dia didakwa mempunyai kepentingan.

Dakwaan terhadap kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam, Muzambir Abd Razak bagaimanapun merayu ia dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan serta menanggung kos rawatan tinggi.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan. Tertuduh membayar jaminan.

Mahkamah menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.