
Menurut The Guardian, Persatuan Bolasepak Seluruh Nepal mendakwa Hector Hevel, seorang daripada penjaring gol dalam perlawanan itu, ‘telah diisytiharkan tidak sah bermain oleh Fifa, justeru keputusan perlawanan itu boleh dibatalkan’.
Malaysia menumpaskan Nepal 2-0 dalam pertemuan pada 25 Mac, di Stadium Sultan Ibrahim, hasil jaringan Hevel dan Lavere Corbin-Ong.
Bulan lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan – Hevel, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, dan Jon Irazabal – dikenakan hukuman jawatankuasa disiplin Fifa susulan didapati bersalah melanggar Artikel 22 kod disiplin Fifa berkaitan pemalsuan dokumen.
Fifa berkata, FAM mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, bagi membolehkan mereka bermain perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, pada 10 Jun.
FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain tersebut didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560), dan digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
FAM mengaitkan isu itu dengan ‘ralat pentadbiran’ dilakukan seorang kakitangan pentadbiran dan telah memfailkan rayuan.
Jika rayuan itu gagal, Malaysia boleh dikenakan kekalahan 0–3 terhadap Vietnam dan Nepal, bergantung kepada keputusan akhir Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Lazimnya, Jawatankuasa Rayuan Fifa mengambil masa sehingga dua bulan untuk kes diproses, manakala rayuan seterusnya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) boleh melanjutkan proses itu selama beberapa bulan lagi.
Mengambil kira aksi kelayakan dijadual berakhir pada 31 Mac 2026, AFC dan CAS berdepan tekanan menyelesaikan pertikaian itu dengan segera bagi mengelakkan gangguan kalendar pertandingan.