
Khaled berkata, satu batalion tentera telah didaftarkan lebih awal bagi tujuan itu dan Malaysia kini menunggu keputusan Majlis Keselamatan PBB berhubung penghantaran pasukan pengaman ke Gaza.
“Semasa saya menyertai mesyuarat menteri-menteri negara yang ada pasukan pengaman, kita telah nyatakan kesediaan dan memang kita niat pun nak berada, nak bantu di sana.
“… tetapi kita tunggu pertemuan Majlis Keselamatan PBB untuk buat keputusan. Kalau mereka kata Malaysia dipilih, kita bersedia dengan satu batalion,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Transformasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera 2026-2035 hari ini.
Khaled berkata, batalion yang disediakan itu tidak melibatkan kontinjen Malaysia yang sedang berkhidmat di Lubnan ketika ini.
“Itu (kontinjen Lubnan) setiap satu tahun kita memang panggil balik dan hantar yang lain. Jadi kita ada batalion lain yang bersedia,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, soal kos untuk menghantar pasukan tentera menyertai misi pengaman itu tidak menjadi keutamaan pada masa ini, kerana perkara yang lebih penting adalah hasrat Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang sedang menderita akibat konflik berpanjangan.
Khaled berkata, Malaysia sentiasa berpegang teguh terhadap prinsip kemanusiaan sejagat yang menjadi dasar utama negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.