
Beliau menegaskan isu itu perlu dilihat sebagai masalah sosial nasional yang menuntut penyelesaian bersama.
“Anak-anak bukan bahan politik dan sekolah bukan gelanggang perebutan kuasa. Isu ini menuntut pendekatan menyeluruh serta kerjasama semua pihak, bukan tuding-menuding demi kepentingan parti,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahfuz, peningkatan kes buli dan keganasan dalam kalangan pelajar mencerminkan keruntuhan nilai sosial serta kegagalan sistem pendidikan moral dalam masyarakat, bukan semata-mata kelemahan sekolah atau kerajaan.
“Masyarakat tidak boleh hanya menuding jari kepada guru atau Kementerian Pendidikan. Anak-anak datang ke sekolah membawa nilai dan sikap yang dibentuk oleh rumah dan persekitaran sosial. Bila nilai kekeluargaan longgar dan rasa malu hilang, sekolah menanggung akibatnya,” katanya.
Beliau berkata, tekanan hidup menyebabkan ibu bapa kekurangan masa untuk mendidik anak-anak, sementara guru pula terbeban dengan urusan pentadbiran hingga peranan membentuk sahsiah semakin terpinggir.
Mahfuz turut menekankan perlunya kerajaan dan Kementerian Pendidikan memperkukuh pendidikan sahsiah, nilai dan kemahiran emosi (EQ) di semua peringkat persekolahan.
Selain itu, katanya, pendidikan kekeluargaan dan komuniti wajar diarusperdanakan agar tanggungjawab mendidik tidak diserahkan sepenuhnya kepada sekolah.
“Kita mesti berani mengakui bahawa keruntuhan nilai sosial adalah ancaman sebenar kepada masa depan negara. Membangun generasi berilmu tanpa akhlak seperti membina rumah tanpa asas – akhirnya roboh bersama masa dan maruah bangsa,” katanya.