Jangan jadikan PAS kambing hitam, Takiyuddin beritahu menteri Singapura

Jangan jadikan PAS kambing hitam, Takiyuddin beritahu menteri Singapura

Setiausaha Agung PAS berkata menuduh parti itu cuba campur tangan dalam politik Singapura adalah bertujuan alih perhatian daripada isu dalaman.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata mensensasikan komen biasa rentas sempadan adalah semata-mata untuk mendapatkan kelebihan politik jangka pendek.
PETALING JAYA:
PAS membidas seorang menteri Singapura kerana didakwa cuba menjadikan parti itu sebagai kambing hitam dengan menuduh PAS cuba mencampuri urusan politik republik tersebut.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘jalan pintas politik’ yang bertujuan mengalih perhatian daripada isu dalaman.

“PAS menolak sekeras-kerasnya percubaan untuk menjadikan parti kami sebagai kambing hitam bagi memajukan agenda politik domestik di Singapura.

“Kami tidak akan membiarkan naratif palsu ini berterusan di mana komen biasa rentas sempadan disensasikan sebagai ancaman keselamatan demi kepentingan politik jangka pendek,” katanya.

Takiyuddin mengulas kenyataan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura, K Shanmugam pada 14 Okt yang menyeru ahli politik supaya ‘menolak godaan untuk menggunakan isu kaum dan agama dalam kempen pilihan raya bagi kemenangan politik mudah’,” lapor The Straits Times.

Shanmugam turut menyentuh reaksi parti pembangkang, Parti Pekerja (WP), terhadap kenyataan guru agama Noor Deros dan ahli politik PAS, sambil berkata WP sepatutnya bertindak lebih pantas dan tegas dalam menyatakan pendirian.

Beliau juga menegaskan bahawa parti politik mesti dengan segera, jelas dan tegas menolak sebarang cubaan untuk mencampuri politik Singapura.

Pada April lalu, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkongsi hantaran oleh Zulfikar Shariff, bekas warganegara Singapura, yang menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Islam gagal mewakili komuniti itu.

Zulfikar berkata Singapura tidak memerlukan lagi Ahli Parlimen Melayu yang tidak mencerminkan pandangan masyarakat itu.

Bendahari PAS Pusat Iskandar Abdul Samad turut menyatakan sokongan terhadap seorang calon dalam pilihan raya Singapura.

Susulan itu, Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura menegur pemimpin PAS kerana didakwa cuba mempengaruhi PRU negara itu pada 3 Mei dengan hantaran yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata kenyataan itu menunjukkan seolah-olah pengundi Singapura begitu mudah dipengaruhi oleh pandangan luar sehingga perlu ‘dilindungi’ daripada pendapat yang mampu mereka nilai secara kritikal.

“Menyalahkan orang luar bagi perdebatan dalaman adalah taktik klasik mengalihkan perhatian supaya mudah mengalihkan fokus daripada isu sebenar,” katanya.

Beliau berkata taktik sebegitu membolehkan pemimpin menggembleng dibelakang rakyat menentang ancaman palsu, satu pendekatan yang jauh lebih mudah berbanding usaha menggubal dasar, membina persefahaman dan menangani kebimbangan sebenar rakyat.

“Ia adalah jalan pintas politik yang menukar penyelesaian jangka panjang dengan perpaduan sementara menentang kambing hitam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.