
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Wan Hashim Wan Rahim, berkata projek itu yang dilaksanakan sejak Ogos lalu membabitkan peruntukan RM3 juta, bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama selain membendung insiden tidak diingini.
“Pemasangan ini melibatkan sekolah-sekolah berasrama yang telah dikenal pasti berisiko tinggi termasuk yang mempunyai rekod kejadian buli dan sebagainya,” katanya menurut Bernama selepas hadir Majlis Persaraan di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2025, di Kuala Nerus.
Beliau berkata, pemasangan CCTV itu dilihat mampu membantu siasatan secara lebih menyeluruh kerana sebelum ini ‘banyak kes’ berlaku di kawasan sekolah dan asrama sukar dibuktikan.
Wan Hashim juga berkata, penentuan jumlah dan lokasi pemasangan CCTV di setiap sekolah akan ditentukan mengikut keperluan dengan kerjasama pihak Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan polis bagi mengelakkan sebarang pelanggaran privasi khususnya melibatkan pelajar serta guru.
“Setiap sekolah berbeza…jadi, ia dibuat mengikut kesesuaian sekolah berkenaan dan mungkin ada yang perlukan lapan unit kamera atau 10 unit, ikut kesesuaian, kita akan rujuk nasihat daripada CGSO untuk tentukan pasang (CCTV) dari segi sudut yang sesuai,” katanya.