Thailand-Kemboja dijangka meterai gencatan senjata di KL

Thailand-Kemboja dijangka meterai gencatan senjata di KL

Perjanjanjian dinamakan 'Kuala Lumpur Accord' akan ditandatangani pada Sidang Kemuncak Asean.

mohamad hasan
Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata perjanjian itu menetapkan syarat antaranya pembersihan periuk api serta pengunduran jentera perang dari kawasan sempadan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Thailand dan Kemboja dijangka memeterai perjanjian gencatan senjata pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 diadakan di Kuala Lumpur, yang turut akan disaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata penandatangan perjanjian yang dikenali sebagai ‘Kuala Lumpur Accord’ itu bertujuan memastikan kedua-dua negara mampu berdamai dan mematuhi gencatan senjata di kawasan sempadan yang dipertikai.

Beliau mendedahkan Trump akan mengadakan lawatan ke Malaysia pada 26 Okt untuk menghadiri beberapa mesyuarat berkaitan dengan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Berkaitan bawah kepengerusian Malaysia, termasuk Sidang Kemuncak Khas Asean-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

“Kita sedang mengusahakan bersama-sama dengan AS dan Malaysia sebagai pemudah cara untuk memastikan satu gencatan senjata yang lebih meluas dapat diadakan antara pihak Thailand dan Kemboja, dan dikawal selia oleh Pasukan Operasi Asean (AOT),” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kelab Concorde.

Mohamad berkata, perjanjian gencatan senjata itu akan menetapkan beberapa syarat terhadap Thailand dan Kemboja, antaranya membersihkan segala periuk api serta mengundurkan jentera perang dari kawasan sempadan.

Thailand dan Kemboja berdepan konflik berlarutan selama beberapa dekad berhubung wilayah di sepanjang sempadan bersama sejauh 817km.

Pertikaian itu memuncak pada 24 Julai lalu apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan, sebelum berakhir pada 28 Julai selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan gencatan senjata dalam mesyuarat khas dianjurkan Malaysia di Putrajaya.

Sementara itu, Mohamad berkata lebih 80 dokumen dijangka akan diterima pakai sepanjang sidang kemuncak itu, kebanyakannya berkaitan sektor ekonomi.

“Kita juga akan mengadakan mesyuarat mengenai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (Rcep) dan perkara ini penting memandangkan situasi geoekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Asean dan China juga dijadual menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 semasa sidang kemuncak itu, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.