
Beliau berkata tindakan itu perlu diambil sebagai pengajaran agar kejadian seumpama itu tidak berulang pada masa depan.
“Saya setuju polis mengambil tindakan yang sewajarnya. Mana ada negara di dunia — ketika dijajah, orang boleh angkat bendera pengkhianat.
“Sama juga dengan isu pengibaran bendera Israel. Walau apa pun alasan diberikan, saya setuju tindakan diambil supaya menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan akan mengambil tindakan tanpa ‘double standard’ terhadap penganjur acara berkenaan.
“Dalam program itu, ribuan orang menyertai pelayaran dan ada bot yang mengibarkan bendera Israel. Sebagai rakyat yang memahami kesengsaraan di Gaza, kita mesti sedar matlamat tidak menghalalkan cara,” kata Shahar.
Jumaat lalu, lebih 1,000 bot menyertai pelayaran sejauh lapan kilometer di Sungai Kelantan sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
Tindakan segelintir peserta mengibarkan bendera Israel serta membuat lakonan semula menyerupai tentera dan ‘tawanan’ di atas bot itu mencetuskan kontroversi serta menerima kecaman pelbagai pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Ahli Parlimen DAP RSN Rayer.
Semalam, penganjur program itu memohon maaf di atas insiden terbabit.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata secara peribadi beliau setuju dengan pandangan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung Israel tidak akan memenuhi syarat di dalam pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Beliau berkata disebabkan itu Malaysia antara negara yang tidak memberi sokongan penuh kerana yakin berdasarkan pengalaman lalu berhubung pelanggaran Israel terhadap perjanjian damai.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia bersedia menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir, semalam.
Beliau berkata perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada saja pasukan pendamai, kita akan kirim.
“Saya setuju pasukan pendamai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza. Kalau boleh fokus pembangunan sekolah, hospital dan masjid,” katanya.