Pelajar ditikam: Jawatankuasa Khas Parlimen akan panggil KPM, polis

Pelajar ditikam: Jawatankuasa Khas Parlimen akan panggil KPM, polis

Pihak terbabit diminta perjelas piawaian keselamatan di sekolah.

KPM dan polis akan dipanggil untuk pendengaran Jawatankuasa Khas Parlimen dan selepas itu penyata keselamatan di sekolah bawah KPM akan dibentangkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Parlimen akan memanggil Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis untuk memberi keterangan mengenai piawaian keselamatan di sekolah, kata Yeo Bee Yin (PH-Puchong).

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat berkata, langkah memanggil pihak terbabit diputuskan susulan insiden mengejutkan melibatkan kes tikam seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.

“Saya telah berbincang dengan ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat berkenaan insiden-insiden yang berlaku di sekolah kebelakangan ini.

“Kami telah putuskan memanggil KPM dan polis untuk pendengaran Jawatankuasa Khas Parlimen dan selepas itu kami akan membentangkan penyata tentang keselamatan di sekolah bawah KPM di Dewan yang mulia. Harap boleh diberi ruang untuk dibahas,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dilaporkan maut selepas ditikam pelajar lelaki dalam kejadian pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar 9.30 pagi suspek pelajar lelaki Tingkatan 1 dikatakan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke sekolah.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata suspek sudah ditahan dengan motif kejadian masih disiasat.

Dalam pada itu, Yeo berkata perkara paling utama adalah KPM perlu bertindak cepat bagi memastikan sekolah adalah tempat selamat untuk pelajar.

“Penyata Dewan Rakyat adalah ‘secondary’, untuk Puchong. Paling penting ialah pihak eksekutif terutama KPM perlu bertindak dengan cepat, ‘make our schools safe again’ untuk anak-anak kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.