Malaysia tak mahu gencatan senjata di Gaza sekadar jeda, kata Anwar

Malaysia tak mahu gencatan senjata di Gaza sekadar jeda, kata Anwar

Anwar Ibrahim menyuarakan rasa tidak percaya kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan menghormati gencatan senjata itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata gencatan senjata di Palestin mesti menjadi pintu masuk usaha bina semula Gaza dan pengiktirafan hak rakyat Palestin hidup bebas di tanah air sendiri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia tidak mahu gencatan senjata sedang berkuat kuasa antara Palestin dan Israel sekadar menjadi satu lagi jeda sebelum perang kembali menyusul semula di Gaza, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mengalu-alukan pelan damai Gaza dimulakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, “kita tidak mahu satu lagi jeda antara peperangan.”

“Kita sedang berdepan dengan (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu dan Kabinetnya, yang langsung tidak berselindung. Mereka tidak akan menghormati (gencatan senjata) itu.

“Jadi, gencatan senjata ini bagi pihak kami, mestilah menjadi pintu masuk kepada usaha membina semula Gaza, mengembalikan maruah, dan mengiktiraf hak (rakyat Palestin) untuk hidup bebas di tanah air sendiri,” katanya pada satu sidang di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

Anwar juga mengkritik ‘hipokrasi’ pemimpin dunia yang terlibat dalam libat urus pelbagai hala isu itu, sambil mendakwa mereka ‘sibuk bercakap mengenai hak asasi manusia, keadilan dan ketenteraman, namun merestui kekejaman terhadap rakyat Gaza’.”

“(Mereka bercakap) dengan penuh yakin dan nurani jelas, merestui kekejaman ini, sedangkan kita telah menyaksikan seluruh penempatan dihapuskan dalam sekelip mata, orang awam dibom, hospital diratakan, dan konvoi bantuan dihalang.”

“Undang-undang tercatat tetapi tidak pernah dikuatkuasakan. Jadi, bagi saya ini bukan sekadar malapetaka kemanusiaan. Ini adalah detik kepercayaan terhadap undang-undang itu sendiri mula pudar,” katanya.

Anwar berkata, beliau baru-baru ini telah memberi jaminan di Dewan Rakyat berkait persoalan kehadiran Trump di Sidang Kemuncak Asean, bahawa Malaysia akan terus menyuarakan pendirian mengenai Palestin kepada AS.

“Kami akan menyatakan penentangan kami (terhadap perang Israel) dengan tegas dan jelas, seperti yang telah kami lakukan di hadapan (bekas) presiden Joe Biden atau (bekas canselor Jerman) Olaf Scholz dan yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.