
Katanya, pengerusi bersama LADA, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diminta membincangkan cara menjadikan kos percutian di Langkawi lebih berpatutan.
Anwar berkata walaupun Langkawi menawarkan pantai lebih bersih dan tarikan semula jadi lebih cantik berbanding destinasi tumpuan pelancong berdekatan seperti Phuket, harga tinggi tidak menggalakkan rakyat tempatan bercuti di pulau itu.
“LADA akan mencari jalan mengurangkan kos percutian di Langkawi kerana pulau itu tidak akan menarik ramai pelancong jika kos bercuti di sana mahal,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji cara untuk menjadikan percutian domestik lebih menarik kepada rakyat tempatan.
Jimmy Puah (PH-Tebrau) sebelum ini bertanyakan Anwar apa usaha kerajaan menangani kebanjiran rakyat Malaysia bercuti di luar negara, khasnya pada hujung minggu panjang di Thailand.
Bulan lalu, kira-kira 200,000 rakyat Malaysia membelanjakan hampir RM50 juta untuk membeli-belah dan beriadah di selatan Thailand sempena cuti Hari Malaysia.
Kebanyakan pelancong ke Hatyai dan wilayah berdekatan seperti Narathiwat, Yala, Pattani serta Songkhla, di mana tempahan hotel melebihi 120,000 bilik.
Seorang pemain industri pelancongan Thailand memberitahu Kosmo! bahawa setiap rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira 4,000 baht (RM522) selama tiga hari untuk penginapan, makanan dan pengangkutan.
Anwar berkata, ringgit lebih kukuh menjadikan percutian di luar negara lebih menarik kepada rakyat Malaysia, yang juga antara sebab kerajaan memperkenalkan langkah meningkatkan pelancongan domestik seperti pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 untuk bayaran masuk ke pusat tarikan pelancong dan program kebudayaan.
“Jika ringgit lemah, ada masalah. Jika ringgit kukuh, ada masalah juga. Tetapi antara kedua-duanya, saya tetap memilih ringgit yang kukuh.”
Terdahulu, Anwar memberitahu Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), kerajaan sedang berusaha meningkatkan kempen pemasaran dalam talian untuk memanfaatkan ketibaan 38 juta pelancong tahun lalu.
Mas Ermieyati bertanya mengenai persiapan kerajaan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, di mana ia berharap dapat menarik 47 juta pelancong antarabangsa.