Cita-cita AI mungkin tak tercapai kerana kurang minat sains, kata ahli akademik

Cita-cita AI mungkin tak tercapai kerana kurang minat sains, kata ahli akademik

Ahli akademik sambut baik Belanjawan 2026 untuk teknologi dan AI, tetapi berkata masalah terbesar adalah kurangnya minat pelajar pada subjek STEM.

AI
Asas STEM yang kuat penting untuk mempersiapkan generasi akan datang dengan masa depan dipacu AI, kata Selvakumar Manickam dati USM dan Azizol Abdullah dari UPM. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Dua ahli akademik bimbang hasrat Malaysia untuk menjadi peneraju dalam kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030 mungkin sukar dicapai berikutan minat yang semakin berkurangan terhadap kursus berkaitan sains dan teknologi.

Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Selvakumar Manickam, berkata negara tidak akan dapat membina saluran bakat AI yang diperlukan tanpa asas kuat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Selvakumar Manickam
Selvakumar Manickam.

Beliau berkata semakin ramai golongan muda tidak memilih aliran sains dan matematik, yang boleh menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor teknologi penting.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana asas STEM yang kukuh amat penting untuk mempersiapkan generasi akan datang untuk masa depan yang dipacu AI,” kata Selvakumar, yang mengetuai Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber USM.

“Tanpa penekanan semula terhadap pendidikan STEM, kita berisiko kekurangan bakat yang diperlukan untuk mengekalkan kemajuan AI yang bermakna. Walaupun matlamat nasional untuk menjadi negara AI menjelang 2030 wajar dipuji, ia mungkin terlalu bercita-cita tinggi berdasarkan kemampuan semasa kita.”

Selvakumar berkata universiti awam menunjukkan kemajuan baik dalam pengajaran dan penerapan AI, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan inovasi tempatan.

“Universiti kita mahir menggunakan alat AI sedia ada, tetapi kita juga perlu belajar membina teknologi kita sendiri. Kita mesti bergerak daripada sekadar pengguna kepada pencipta teknologi baharu,” katanya ketika mengulas Belanjawan 2026 dalam sektor teknologi yang dibentangkan Jumaat lalu.

Azizol Abdullah
Azizol Abdullah.

Sementara itu, Azizol Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bersetuju bahawa pendidikan sains perlu bermula lebih awal di peringkat sekolah.

“Di peringkat universiti, pendidikan STEM boleh diuruskan. Cabaran sebenar ialah di peringkat sekolah. Kita perlu menarik minat pelajar kepada STEM lebih awal,” kata Azizol, yang mengetuai kumpulan penyelidikan pengkomputeran tanpa wayar, mudah alih dan kuantum UPM.

Tahun lalu, dua universiti awam di Pulau Pinang melaporkan mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E) secara keseluruhan — jauh di bawah kapasiti sebenar.

Secara keseluruhan, 16 universiti awam di seluruh negara menawarkan kursus berkaitan E&E dengan kira-kira 18,000 pelajar, namun hanya segelintir universiti yang mempunyai lebih daripada 2,000 pelajar setiap satu.

Pihak industri berkata jumlah ini perlu digandakan menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Kerajaan turut mengakui kekurangan 50,000 jurutera dalam sektor E&E, sedangkan universiti tempatan hanya melahirkan kira-kira 5,000 graduan setahun.

Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) turut memberi amaran bahawa banyak kilang kini berdepan kesukaran mendapatkan jurutera baharu di tengah-tengah krisis kekurangan tenaga mahir yang semakin meruncing.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan masa depan Malaysia bergantung kepada penguasaan AI dan inovasi.

Beliau mengumumkan hampir RM5.9 bilion diperuntukkan untuk penyelidikan dan inovasi, manakala RM2 bilion akan digunakan bagi membangunkan Awan AI Berdaulat untuk melindungi data negara.

Selain itu, RM15 juta turut disalurkan bagi inisiatif seperti Malaysia Techlympics dan Minggu Sains Kebangsaan bagi meningkatkan minat terhadap sains dan teknologi.

Anwar turut berkata kerajaan akan memperkukuh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan dan menyokong universiti dalam bidang utama AI seperti semikonduktor, perubatan, kriptologi dan teknologi digital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.