
Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat malam tadi berkata empat lagi ahli turut dipecat.
Dalam kenyataan, lembaga disiplin berkata tindakan terhadap enam ahli itu diambil atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.
“Lembaga disiplin menerima aduan bertulis daripada ahli terhadap responden berikut pelanggaran peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, lembaga disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Okt dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” katanya.
Empat lagi yang dipecat adalah Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Menurut kenyataan itu, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan parti dalam tempoh 14 hari.
Katanya, lembaga disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil, dan berlandaskan perlembagaan parti.
“Lembaga disiplin membuat keputusan berdasarkan siasatan yang dijalankan serta pertimbangan sewajarnya tanpa melibatkan mana-mana campur tangan pihak lain, bebas, dan tidak berat sebelah,” kata kenyataan itu.
Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi baru-baru ini.
FMT menghubungi Wan Saiful, Wan Fayhsal dan lembaga disiplin parti untuk mendapatkan maklum balas.