Ahli Parlimen cadang tambah guru kaunseling tangani buli

Ahli Parlimen cadang tambah guru kaunseling tangani buli

Doris Sophia Brodi cadang seorang guru kaunseling untuk setiap 200 pelajar berbanding 400-500 pelajar sekarang.

buli-sekolah
Isu buli dan jenayah seksual dilihat semakin meruncing di negara ini, khususnya dalam kalangan pelajar. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mencadangkan agar bilangan guru kaunseling di sekolah ditambah agar masalah buli di sekolah, yang dilihat semakin membimbangkan, dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berkata, langkah menugaskan seorang guru kaunseling menguruskan 400 hingga 500 pelajar adalah tidak mampan.

“Saya mencadangkan seorang guru kaunseling untuk setiap 200 pelajar, termasuk di sekolah pedalaman,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, susulan isu buli dan jenayah seksual yang dilihat semakin meruncing di negara ini, khususnya dalam kalangan pelajar.

Doris menambah, perkembangan terkini termasuk membabitkan kes seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 maut ditikam rakan sekolahnya pagi tadi amat menyedihkan dan merisaukan.

“Apa jadi dengan sekolah dan remaja kita?” keluhnya.

Dalam pada itu, Doris turut mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan modul empati dan ihsan yang wajib diikuti di sekolah.

Katanya, modul itu bukan sekadar pelajaran tetapi boleh menjadi penyelamat kepada jiwa pelajar.

“Anak-anak harus belajar menghargai maruah manusia, menolak kekerasan, menghormati perbezaan dan berani menegakkan kebenaran,” katanya

Selain itu, Doris berkata, latihan dan pembangunan kapasiti guru dan pentadbir sekolah juga perlu diambil kira.

Katanya, mereka perlu diberikan kemahiran bagi mengesan tanda awal buli dan menangani kes secara proaktif termasuk melalui kaunseling psikologi asas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.