‘Ada sesuatu tak baik dalam Bersatu’, kata Wan Fayhsal selepas digantung

‘Ada sesuatu tak baik dalam Bersatu’, kata Wan Fayhsal selepas digantung

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dakwa proses keadilan dalam Bersatu tidak dikendalikan dengan betul.

live Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (kiri) dan Wan Saiful Wan Jan (kanan) pada sidang media di Parlimen berhubung tindakan disiplin Bersatu ke atas mereka.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendakwa ada sesuatu ‘kurang baik’ sedang berlaku dalam Bersatu, selepas keahliannya digantung selama satu penggal atas kesalahan melanggar perlembagaan parti.

Wan Fayshal mendakwa proses keadilan dalam parti tidak dikendalikan dengan betul seperti permintaan supaya dua keahlian anggota dalam Lembaga Disiplin disusun semula.

Menurutnya, dua ahli itu mempunyai konflik kepentingan melibatkan hubungan kekeluargaan dan profesional dengan pimpinan tertinggi Bersatu.

Dakwa ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu itu, malah pengadu juga tidak hadir sewaktu mereka dipanggil ke Lembaga Disiplin, minggu lalu yang tidak mengikuti prosedur sebenarnya.

Beliau turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang ‘kurang sihat’ dalam parti.

“Kami rasa ada sesuatu kurang baik sedang berlaku dalam parti kami ini,” tegasnya dalam sidang media sambil menyifatkan tindakan dikenakan sebagai tidak adil dan tergesa-gesa.

Beliau juga menegaskan tidak akan berundur dengan desakan oleh pihak tertentu yang membuat percaturan dalam Bersatu.

“Kita akan lawan mereka yang kita anggap sebagai tali barut yang cuba mengatur sesuatu terhadap kami.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau akan menggunakan saluran dalaman parti untuk membuat rayuan terhadap pemecatannya.

“Saya akan meneliti keputusan itu dan mempertimbangkan rayuan dalam tempoh 14 hari yang diperuntuk,” katanya sambil menyatakan akan terus sedia dengan Bersatu.

“Bersatu bukan milik mana-mana individu. Ia dibina ahli akar umbi yang berkorban sejak awal.

“Kami akan terus istiqamah dan berpegang pada prinsip kebenaran melalui saluran parti,” katanya.

Awal hari ini, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan Wan Saiful dan penggantungan keahlian Wan Fayhsal atas kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan ahli.

Empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Tindakan itu dipercayai berkait dakwaan penglibatan beberapa individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa satu acara rasmi baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.