3 kali salah sama lesen syarikat batal, Loke ulas operasi lori lebih muatan

3 kali salah sama lesen syarikat batal, Loke ulas operasi lori lebih muatan

Menteri pengangkutan berkata pendekatan baharu itu bertujuan menamatkan sikap sambil lewa sekian lama di mana pengusaha hanya bayar denda.

Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kementerian tidak lagi bertolak ansur terhadap pemandu, pemilik, atau syarikat pengangkutan mengabaikan keselamatan jalan raya dan kebajikan awam.
PUTRAJAYA:
Syarikat didapati membawa kenderaan lebih muatan sebanyak tiga kali akan dibatalkan lesen operasi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan baharu itu bertujuan menamatkan amalan lama pengusaha pengangkutan yang menganggap denda sebagai sekadar kos menjalankan perniagaan.

Loke berkata, kementerian tidak lagi akan bertolak ansur terhadap pemandu, pemilik, atau syarikat pengangkutan yang mengabaikan keselamatan jalan raya dan kebajikan awam.

Beliau berkata, mereka didapati membawa muatan berlebihan buat kali pertama akan dikenakan denda, namun kes lebih serius akan dibawa ke mahkamah di mana boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Jika syarikat itu didapati bersalah kali kedua, permit kenderaan mereka akan dibatalkan. Jika didapati bersalah kali ketiga, lesen syarikat tersebut akan dibatalkan,” kata Loke pada sidang media di kementeriannya.

“Jika lesen sesebuah syarikat dibatalkan dan ia memiliki 500 permit, semua 500 permit tersebut akan ditarik balik. Syarikat itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.

“Kita mengeluarkan amaran yang jelas dan terbuka. Apabila tindakan diambil, jangan tuduh kami bersikap keras atau cuba menutup syarikat anda. Tiada sebarang kompromi,” katanya.

Operasi mula malam ini

Loke berkata, operasi penguatkuasaan besar-besaran terhadap kenderaan komersial membawa muatan berlebihan akan bermula malam ini dan diteruskan sehingga hujung tahun.

Operasi itu akan merangkumi lima zon – utara, tengah, selatan, timur, dan Borneo – dengan 12 pasukan penguat kuasa ditempatkan di setiap zon. Pegawai akan memberi tumpuan kepada kawasan panas berhampiran kawasan perindustrian dan pelabuhan, di mana kerosakan jalan raya serta kemalangan akibat muatan berlebihan paling serius berlaku.

“Masalah muatan berlebihan sudah berlarutan bertahun-tahun. Ia menyebabkan kemalangan dan kerosakan jalan yang teruk. Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk membaiki jalan, terutamanya berhampiran pelabuhan utama, namun kerosakan masih berterusan,” kata Loke.

Beliau juga berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menggunakan kamera badan mulai bulan depan, dengan fasa pertama melibatkan 100 unit melibatkan kos RM2.3 juta.

“Inilah langkah strategik memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, integriti, dan keselamatan awam,” katanya.

Pegawai terlibat operasi juga akan dilengkapi dengan pistol untuk tujuan perlindungan.

“Kita sedar operasi ini berisiko. Kita berdepan dengan tonto dan samseng. Setiap unit akan dilengkapi dengan kamera dan senjata api,” katanya.

“Segala tindakan dan kelakuan akan dirakam. Jika ada sesiapa bertindak agresif terhadap pegawai kita, semuanya akan dirakam dalam video.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.