
Dalam kejadian pada 7.30 pagi tadi, pelajar Tingkatan Satu Wan Mohamad Shahronny Wan Rosli dan Nik Aqil Faizin Nik Abdul Aziz meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan
Ketua Polis Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, insiden dipercayai berlaku apabila berlaku pelanggaran antara motosikal Yamaha Y16ZR yang dinaiki dua pelajar SMK Permaisuri Nur Zahirah itu dengan sebuah Nissan Serena dipandu seorang pensyarah Wanita.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa kereta Nissan Serena dari Taman Persiaran Limbongan keluar dari simpang untuk membelok ke kanan dan datang motosikal yang ditunggang Wan Mohamad Shahronny dari arah Bukit Keluang menghala ke sekolah.
“Mereka gagal mengelak lalu melanggar bahagian depan kereta tersebut,” katanya, lapor Bernama.
Azamuddin berkata, mayat dua remaja itu telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, ibu Wan Mohamad Shahronny, Nor Aziera Hashima Mohd Saleh berkata, beliau mengetahui kejadian itu setelah dihubungi guru sekolah anaknya pagi tadi.
Nor Aziera yang tinggal di Kampung Air Tawar berkata, anak sulungnya itu selalu pergi ke sekolah bersama kawan rapatnya, Nik Aqil Faizin, kerana tinggal di kampung yang sama.