Penalti RM190,000 sebulan jika gagal selenggara aerotrain, kata timbalan menteri

Penalti RM190,000 sebulan jika gagal selenggara aerotrain, kata timbalan menteri

Hasbi Habibollah berkata pengeluar asal peralatan (OEM) bertanggungjawab sepenuhnya memastikan tahap ketersediaan aerotrain.

aerotrain klia
Hasbi Habibollah berkata antara 2 Jul dan 30 Sept, sebanyak 19 insiden kecil direkodkan membabitkan perkhidmatan Aerotrain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penyedia sistem aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dikenakan penalti sehingga RM190,000 sebulan sekiranya gagal memastikan tren itu beroperasi pada tahap ketersediaan ditetapkan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, pihak pengeluar asal peralatan (OEM) bertanggungjawab sepenuhnya memastikan aerotrain berfungsi pada tahap maksimum — 100% bagi satu tren, dan 99.5% apabila dua tren beroperasi serentak.

“Ini bermakna toleransi bagi sebarang kegagalan sistem adalah amat ketat.

“Kita mahu pastikan operasi berjalan 100%. Jika gagal, penalti akan dikenakan — maksimum RM190,000 sebulan. Mereka perlu pastikan sistem sentiasa tip-top,” katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi Habibollah
Hasbi Habibollah.

Hasbi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ir Khairil Nizam Khirudin (PN–Jerantut) yang ingin tahu sama ada pihak OEM akan dikenakan penalti sekiranya gagal memastikan tahap ketersediaan sistem aerotrain mencapai 100%.

Beliau menjelaskan, projek Aerotrain itu siap sepenuhnya pada 30 Jun lalu dan mula beroperasi pada 1 Julai, dan kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan selama dua tahun.

Menurutnya, antara 2 Julai dan 30 Sept, sebanyak 19 insiden kecil direkodkan, kebanyakannya melibatkan sistem semboyan atau signalling, termasuk kes penumpang yang cuba memaksa pintu tren dibuka secara manual.

“Pembaikan dilaksanakan segera dengan pegawai dan juruteknik ditempatkan di lokasi bagi memastikan sebarang masalah dapat dibaik pulih serta-merta,” kata Hasbi.

Tambahnya, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus bekerjasama rapat dengan pengeluar sistem, Alstom, bagi memastikan kelancaran dan kestabilan operasi Aerotrain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.