Kempen ‘Awak ok tak’ bantu lebih 50,000 orang di talian

Kempen ‘Awak ok tak’ bantu lebih 50,000 orang di talian

Menteri Nancy Shukri berkata panggilan itu diterima menerusi Talian Kasih, iaitu talian utama kempen untuk membantu masalah tekanan dalam kehidupan.

Nancy Shukri bersama orang ramai memeriahkan kempen ‘Awak OK Tak? Jom Kongsi’ sempena program Kasih Fun Run di Dataran DBKL, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebanyak 52,801 panggilan diterima Talian Kasih dari Januari hingga bulan lalu, menunjukkan semakin ramai individu mencari tempat untuk mendapatkan sokongan emosi dan bimbingan ketika berdepan tekanan hidup.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata setiap panggilan ke talian sokongan program ‘Awak OK Tak?’ itu menggambarkan seseorang yang memerlukan ‘telinga untuk mendengar atau bahu untuk bersandar’.

“Kempen ‘Awak OK Tak?’ ialah seruan untuk kita semua belajar bertanya, mendengar dan hadir untuk satu sama lain. Soalan yang nampak kecil, tetapi maknanya besar.

“Kadangkala pertanyaan ‘Awak OK tak?’ boleh menjadi langkah pertama untuk seseorang rasa dilihat dan disayangi,” katanya sambil menyeru orang ramai tidak memandang ringan kesejahteraan emosi orang di sekeliling.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen ‘Awak OK Tak? Jom Kongsi’ sempena program Kasih Fun Run di Dataran DBKL, semalam.

Talian Kasih 15999 merupakan platform utama kempen tersebut yang beroperasi 24 jam tanpa henti.

Menerusi talian berkenaan, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan kaunseling, bantuan kebajikan kumpulan sasar, perlindungan serta perkhidmatan kesihatan reproduktif.

Selain itu, talian ini turut menyediakan bimbingan sosial remaja bagi meningkatkan kesejahteraan emosi dan sosial masyarakat.

Menurut Nancy, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) percaya kesejahteraan emosi sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

“Kita berlari hari ini untuk kesihatan badan, tetapi kita juga perlu berlari ke arah kesejahteraan minda dan jiwa,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya bersama pelbagai rakan strategik akan memperluaskan kempen itu melalui pemasangan poster, pelekat dan aktiviti komuniti di seluruh negara agar mesej ‘Awak OK Tak?’ dapat disebarluaskan.

Beliau turut menyeru masyarakat menjadikan semangat program itu sebagai titik permulaan untuk lebih prihatin terhadap satu sama lain.

“Kalau nampak jiran atau rakan yang muram, tanya saja ‘Awak OK tak?’ – mungkin itu soalan yang mereka perlukan hari itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.