Jangan jadikan DAP kambing hitam, Puad beritahu MCA

Jangan jadikan DAP kambing hitam, Puad beritahu MCA

Puad Zarkashi berkata pemimpin MCA hanya tahu salahkan Umno termasuk hubungan dengan DAP namun gagal lihat kelemahan sendiri.

puad
Ahli MKT Umno Puad Zarkashi mendakwa kekalahan teruk MCA pada PRU14 dan 15 berlaku disebabkan imej MCA sendiri.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi menggesa MCA tidak menjadikan DAP sebagai ‘kambing hitam’ berhubung prestasi Barisan Nasional (BN) dan kedudukannya yang goyah dalam gabungan itu.

Katanya, kesilapan besar beberapa pemimpin MCA adalah mereka hanya menyalahkan Umno sebagai punca kemerosotan BN, namun gagal melihat kelemahan sendiri.

Beliau mengingatkan bawah kepimpinan Pengerusi BN Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno, gabungan itu menang banyak PRK, termasuk merampas semula kerusi di Melaka dan Johor serta mengekalkan kuasa di Pahang dan Perak.

Sementara itu, Puad berkata kekalahan teruk MCA pada PRU14 dan 15 disebabkan imej MCA sendiri.

“Tidak benar kes pendakwaan Zahid merosakkan imej BN atau jadi punca MCA menang dua kerusi saja.

“Jangan jadikan DAP alasan dan kambing hitam. Umno tetap menang di Nenggiri. Itu kubu PAS…majoriti Melayu. Apa kena mengena dengan DAP?

“Pulihkan diri sendiri seperti apa yang Umno lakukan,” katanya di Facebook.

Merujuk dakwaan Zahid bahawa beberapa pemimpin MCA dan MIC mendesak parti keluar daripada BN kerana tidak berpuas hati tidak mendapat ‘mainan’, Puad berkata perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin parti berkenaan.

“Sudah tentu Ti (juga) tidak lepas peluang. Cuma kali ini nada beliau jauh berbeza. (Beliau) cakap pasal maruah, tetapi tidak pula mendesak pula MCA keluar segera dari BN demi maruah MCA.

“Kalau mahu bercakap pasal maruah, Ti patut desak MCA buat EGM (mesyuarat agung luar biasa) dan putuskan mahu kekal atau tidak dalam BN? Kenapa teragak agak?

“Atau bertanding di PRN Sabah. Kita mahu melihat MCA bermaruah atau tidak,” katanya.

Ti hari ini menuduh Zahid ‘memperlekehkan MCA dan MIC’, menunjukkan keangkuhan dan tidak tahu mengenang budi.

Beliau berkata, sikap sebegitu mencerminkan banyak perkara tentang kepimpinan Zahid, ‘terutama dengan mengambil kira hubungan rapatnya dengan DAP’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.