IPTA dibenar laksana PdP dalam talian mulai 16 Okt

IPTA dibenar laksana PdP dalam talian mulai 16 Okt

KPT berkata kemudahan itu membolehkan warga IPT meraikan perayaan bersama keluarga dalam suasana harmoni dan bermakna.

kolam pelajar universiti
Perayaan Deepavali akan disambut 20 Okt ini. (Gambar Bernama) 
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan semua institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid bagi pelajar dan tenaga pengajar beragama Hindu bermula 16 hingga 24 Okt ini, sempena sambutan Deepavali.

Menurut KPT, kemudahan itu membolehkan warga IPT meraikan perayaan yang akan disambut 20 Okt ini bersama keluarga dalam suasana harmoni dan bermakna.

“Kemudahan ini meliputi universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi meraikan perayaan Pesta Cahaya ini,” kata KPT dalam kenyataan.

Kementerian berkata, pelaksanaan langkah itu tertakluk kepada kesesuaian serta keperluan program akademik di institusi terlibat bagi memastikan PdP tidak terjejas.

Dalam pada itu, KPT turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta rakyat Malaysia beragama Hindu dengan harapan agar perayaan itu membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.