Beri bantuan tunai STR setiap 2 minggu, kata Ahli Parlimen

Beri bantuan tunai STR setiap 2 minggu, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Paya Besar Shahar Abdullah berkata langkah itu boleh membantu keluarga menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih berkesan.

Mohd Shahar Abdullah
Shahar Abdullah turut minta kerajaan mengambil langkah lebih agresif untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan menyalurkan bantuan tunai di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) setiap dua minggu berbanding secara suku tahunan, bagi membantu keluarga menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik.

Shahar Abdullah (BN–Paya Besar) berkata mekanisme di India boleh dicontohi di mana bantuan tunai diberikan dalam tempoh lebih singkat.

“Langkah ini pasti dapat membantu rakyat merancang dan mengurus perbelanjaan dengan lebih baik,” katanya yang juga pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau tidak menghuraikan bagaimana kerajaan boleh melaksanakan pembayaran lebih kerap memandangkan proses agihan STR kini melibatkan beberapa agensi kerajaan.

Bantuan STR kini diagihkan empat kali setahun, dengan pusingan terbaru disalurkan pada bulan Ogos, manakala fasa terakhir dijadualkan pada November.

Dalam perbahasannya, Shahar juga berkata kerajaan perlu mengambil langkah lebih agresif untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, ramai isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana masih bergelut dengan masalah itu walaupun kadar inflasi kekal rendah, dan bantuan tunai jangka pendek sahaja tidak mencukupi.

“Bantuan tunai bukan penyelesaian jangka panjang. Kerajaan perlu mengambil langkah seterusnya — menaikkan gaji minimum secara progresif, melatih semula pekerja, dan membina ekonomi berasaskan komuniti supaya rakyat dapat berdikari,” katanya.

Beliau turut menggesa agihan pendapatan negara yang lebih adil, dengan menekankan pekerja wajar menerima bahagian lebih besar daripada keuntungan syarikat bagi mengukuhkan kuasa beli isi rumah dan merangsang ekonomi.

“Apabila lebih banyak bahagian KDNK disalurkan kepada gaji dan upah pekerja, pendapatan boleh guna isi rumah akan meningkat, perbelanjaan domestik akan bertambah, dan ketahanan ekonomi negara akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.